top of page
nabalunews

Love in actions: Mengangkat seni sulaman manik sebagai pencetus ekonomi komuniti



7 Oktober 2024


KOTA BELUD: Satu program bertemakan 'Love In Actions' iaitu Bengkel Seni Sulaman Manik telah dianjurkan di Dewan Terbuka Belia, Kampung Tinata, Kadamaian, Kota Belud, bagi memberi peluang kepada golongan wanita setempat untuk mempelajari asas-asas seni sulaman manik hiasan.


Program pada Ahad ini dianjurkan oleh Persatuan Wanita Kampung Tinata dengan kerjasama Gereja SIB Tinata Nuluhon, dan berjaya menarik perhatian ramai penduduk setempat, khususnya golongan wanita yang berminat dalam seni dan kraftangan.


Bengkel yang diketuai oleh Rafiah Tapah memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari asas-asas seni sulaman manik hiasan.


Menariknya, para peserta bukan sahaja diberi pendedahan mengenai teknik sulaman, tetapi turut didedahkan kepada potensi seni ini sebagai sumber pendapatan. Dalam konteks ekonomi semasa, seni seperti ini dapat membantu golongan wanita menjana pendapatan sampingan atau tetap, sekaligus meningkatkan taraf hidup mereka.


Menurut Rafiah, produk yang dihasilkan daripada seni sulaman manik mampu memberi pulangan yang lumayan.


"Sebagai contoh, seutas gelang manik boleh dijual pada harga hingga RM35. Jika seni ini diusahakan secara lebih serius, terutama dengan pengeluaran berskala besar dan kepelbagaian produk, ia boleh menjadi industri yang menguntungkan, lebih-lebih lagi memandangkan Kadamaian kini merupakan antara hub pelancongan utama di Kota Belud,” jelas beliau.


Selain manfaat ekonomi, bengkel ini juga dilihat sebagai platform untuk mengukuhkan hubungan antara penduduk kampung.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinata, Hadlee Panchai, menyifatkan bengkel ini sebagai satu inisiatif yang mampu memupuk semangat komuniti.


“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama penduduk, tetapi juga membuka peluang kepada golongan muda dan sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan,” kata beliau.


Hadlee turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas usaha beliau membawa banyak program keusahawanan di Kadamaian.


“Datuk Ewon telah banyak berjasa membawa pelbagai program pembangunan keusahawanan dan pembaharuan melalui ceramah serta bengkel-bengkel yang disokong oleh agensi di bawah kementeriannya. Ini memberi peluang kepada rakyat Kadamaian untuk terus berdaya saing dalam bidang perniagaan,” tambah Hadlee.


Ketua Kampung Tinata, Soyonom Kimpook, turut hadir bagi menyokong aktiviti ini dan memuji usaha murni yang dilaksanakan oleh Persatuan Wanita Kampung Tinata. Beliau melihat bengkel ini sebagai satu langkah proaktif dalam meningkatkan kualiti hidup dan memupuk semangat gotong-royong antara komuniti setempat.


Secara keseluruhannya, program ‘Love In Actions’ ini bukan sahaja berjaya menghidupkan seni tradisi sulaman manik, tetapi juga mencetus kesedaran tentang potensinya sebagai medium untuk memperkasakan ekonomi komuniti, terutama dalam kalangan wanita.

Comments


bottom of page