top of page

Majlis Apresiasi SK Melangkap Kota Belud Berlangsung Meriah

nabalunews


25 Januari 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Majlis Apresiasi Sekolah Kebangsaan (SK) Melangkap yang diadakan 15 Januari lalu, meriah dengan kehadiran warga sekolah, ibubapa serta komuniti setempat.


Majlis yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Melangkap Baru, itu disempurnakan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Justin Nuin, yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Dr. Japran Kusin.


Guru Besar SK Melangkap, Holen Sayaman berkata, penganjuran majlis berkenaan bertujuan untuk menghargai pencapaian cemerlang murid, guru dan ibu bapa dalam memajukan pendidikan sekolah.


"Kejayaan anda adalah hasil usaha gigih, disiplin yang tinggi, bimbingan daripada guru-guru dan sokongan padu daripada ibu bapa.


“Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada lebih 50 penerima anugerah hari ini atas kejayaan masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.


Menurutnya, setiap murid mempunyai potensi yang besar untuk cemerlang dalam pelbagai bidang dan semua pihak bertanggungjawab menyemarakkan semangat itu.


Terdahulu, majlis turut meraikan adik Knight Jr. Kundian yang dinobatkan sebagai Tokoh Murid Lelaki dan adik Aiera Marshanda Abdullah sebagai Tokoh Murid Perempuan.


Menariknya, adik Aiera juga menerima Anugerah Khas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas komitmen dan kecemerlangannya dalam pelbagai bidang.


Manakala, Yang DiPertua PIBG SK Melangkap,

Anichlose Kesimin pula dinobatkan sebagai Tokoh Bapa dan Jenika Yaling yang juga Timbalan Yang DiPertua PIBG, menerima anugerah Tokoh Ibu.


Anugerah itu diberikan sebagai menghargai peranan penting mereka dalam memastikan program sekolah berjalan lancar selain memberi inspirasi kepada komuniti setempat.


Sementara itu, Anichlose berkata, Majlis Apresiasi SK Melangkap bukan saja menjadi platform meraikan kejayaan, tetapi juga memperkukuhkan kerjasama antara semua pihak.


Katanya, ia memberi galakkan kepada murid-murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Tags:

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page