Majlis Berbuka Puasa Eratkan Silaturahim di Kota Belud

24 Mac 2025
KOTA BELUD: Pejabat Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Utara bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian menganjurkan majlis berbuka puasa, semalam.
Majlis yang dianjur dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Ikhwan Kampung Rajunah itu turut berkesempatan meraikan golongan asnaf.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis berkata, sumbangan yang disampaikan adalah daripada Bank Rakyat melalui Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Katanya, sumbangan itu merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah kepimpinan Datuk Ewon Benedick.
“Selain Masjid Al-Ikhwan Kampung Rajunah, sumbangan turut disalurkan kepada Masjid Kampung Lobong-Lobong dan Surau Kampung Kaung Ulu.
“Program seperti ini bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi juga peluang bagi pemimpin dan masyarakat untuk bersatu serta berganding bahu dalam pembangunan komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kota Belud, Madli Mansur, bersama beberapa pemimpin tempatan lain.
Saikom berkata, beliau turut mengapresiasi peranan pelbagai pihak yang menjayakan majlis ini, termasuk pihak masjid dan badan korporat yang sudi menghulurkan bantuan.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Ikhwan Tugiman Kayun berkata, beliau mewakili seluruh jawatankuasa masjid menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan.
Katanya, bantuan itu amat bermakna dalam usaha meningkatkan kemudahan masjid dan surau serta melaksanakan lebih banyak aktiviti keagamaan bagi manfaat masyarakat setempat.
“Secara keseluruhannya, majlis ini bukan saja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, tetapi juga memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Ia menjadi satu platform penting dalam menyemarakkan lagi bulan Ramadan dengan nilai-nilai keprihatinan dan kebersamaan,” katanya.
Comments