Majlis Makan Malam Persekutuan Wira SIB Pekan Kota Belud Eratkan Silaturahim

29 Mac 2025
KOTA BELUD: Majlis makan malam Ahli Jawatankuasa (AJK) Persekutuan Wira Sidang Injil Borneo (SIB) bagi Kawasan Pekan Kota Belud telah berlangsung semalam, 28 Mac 2025, bertempat di Restoran Fish Soup Skyblue Piasau.
Menurut Pengerusi Persekutuan Wira Kawasan Pekan Kota Belud, Loungkin Gimpoton, acara santai ini bertujuan untuk mempereratkan hubungan antara AJK Persekutuan Wira serta kakitangan Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian. Ia juga menjadi platform bagi perbincangan mengenai program-program masa depan yang akan dilaksanakan oleh persekutuan ini.
Loungkin turut memaklumkan bahawa Persekutuan Wira yang dianggotai seramai 25 orang ini akan mengadakan Mesyuarat Agung dalam masa yang terdekat, bagi membincangkan perancangan dan hala tuju persatuan untuk tahun mendatang.
Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan kepada Datuk Ewon Benedick, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, atas sumbangan yang diberikan untuk Makan Amal yang telah dianjurkan tahun lalu. Sumbangan tersebut telah memberi manfaat besar kepada aktiviti dan pembangunan gereja.
Dalam majlis ini, AJK turut menerangkan peranan biro-biro yang terdapat dalam Persekutuan Wira, serta usaha yang telah dijalankan oleh SIB Pekan Kota Belud dalam menyokong keperluan komuniti setempat.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Saikom Watis, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian, yang hadir mewakili Datuk Ewon Benedick. Dalam ucapannya, Saikom mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan dan menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menyokong pembangunan gereja serta aktiviti komuniti keagamaan.
Beliau turut menerangkan beberapa bentuk bantuan kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh gereja dan organisasi keagamaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti. Sebagai tanda sokongan, Saikom juga telah menyumbangkan dana bagi pembelian baju rasmi kepada AJK Persekutuan Wira.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pemimpin tempatan, termasuk Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian, Carlye Lajimin, Pastor Thomas Kana, serta Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, Jolyhame Saran.
Carlye turut menjelaskan beberapa perkara tentang touchpoint, sumbangan daripada Ewon serta penerangan berkaitan cara-cara memohon dana pembangunan gereja daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin gereja dan pihak berkaitan, tetapi juga membuktikan sokongan berterusan terhadap aktiviti yang memperkasakan komuniti.
Comments