Majlis penyampaian sijil tamat prasekolah dan Sekolah Advent Kota Belud disambut meriah
10 Januari 2025
KOTA BELUD: Majlis Penyampaian Sijil Tamat Prasekolah dan Sekolah Advent bagi sesi 2024/2025 yang dianjurkan oleh Majlis Permuafakatan Pendidikan Swasta Kota Belud berlangsung meriah di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Kota Belud semalam.
Sebanyak 23 prasekolah dan 3 sekolah Advent dari seluruh daerah Kota Belud terlibat dalam acara tahunan ini, yang bertujuan meraikan pencapaian murid-murid sebelum mereka melangkah ke peringkat pendidikan seterusnya.
Majlis ini disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud Sektor Pembelajaran, Mokilou Rudin, yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Dr. Japran Hj Kusin.
Mokilou dalam ucapannya menyeru kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa sebagai kunci kepada kecemerlangan akademik.
“Hubungan antara sekolah dan ibu bapa haruslah berasaskan rasa tanggungjawab bersama. Dengan berganding bahu, kita mampu membina jaringan kecemerlangan yang tinggi,” katanya,
Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud Unit Pendidikan Swasta, Justin Nuin, turut memberi penghargaan kepada para murid, guru, dan ibu bapa atas usaha mereka.
“Kejayaan murid bukan hanya terletak pada usaha guru, tetapi juga sokongan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan anak-anak,” ujar beliau.
Pengerusi Persatuan Permuafakatan Pendidikan Swasta Kota Belud, Angela Teo Sieh Nee, pula menyatakan bahawa majlis ini memberi penghormatan kepada usaha murid- murid yang berjaya menamatkan pendidikan di peringkat awal.
“Ini adalah langkah permulaan yang bermakna buat anak-anak kita. Ia mencerminkan usaha berterusan mereka dalam mencapai kejayaan di peringkat seterusnya,” katanya.
Pelbagai persembahan menarik turut menceriakan majlis ini, termasuk nyanyian solo oleh pelajar Sekolah Rendah Advent dan Tadika, persembahan Action Song bertemakan "Heal The World" oleh Tadika Anakku Bestari As-Syakirin, serta tarian kontemporari oleh pelajar Tadika Lok Yuk.
Comments