top of page
nabalunews

Majlis penyerahan CSR Ahli Lembaga Pengarah SKM Datuk Wong Thien Fook, kepada PIBG SMK Kuhara Tawau

1 November 2024


TAWAU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), meneruskan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyerahkan sumbangan peralatan komputer dan mesin pencetak kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara, Tawau, hari ini.


Sumbangan CSR dari SKM ini memberikan impak yang besar kepada SMK Kuhara, khususnya dalam menyediakan keperluan pelajar bagi akses maklumat, bahan pembelajaran, dan rujukan penting yang menjadi gedung ilmu.


Ahli Lembaga Pengarah SKM, Datuk Wong Thien Fook menyerahkan sumbangan tersebut kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kuhara, Mustafah Mappalapang.


Turut hadir di majlis ini, Pengarah SKM Sabah, Efendee OP Andu dan penolong Kanan Pentadbiran SMK Kuhara Tawau, Pojojongi Bacho.


Pihak sekolah tidak membenarkan penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar dan ini menjadikan sumbangan peralatan komputer dan mesin pencetak ini menjadi lebih relevan kerana memudahkan para pelajar mendapatkan bahan pembelajaran dengan lebih baik dan efisien.


Wong yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berharap sumbangan SKM ini dapat memberikan manfaat yang berpanjangan kepada para pelajar dalam pembentukan sahsiah dan kemenjadian murid, selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan generasi yang cemerlang dan berdaya saing.


Majlis penyerahan ini yang berlangsung di Dewan Selera Seri Bitara, SMK Kuhara, Tawau turut dihadiri oleh Naib Presiden UPKO yang juga Ketua Bahagian UPKO Tawau, Datuk Sylvester Taing dan Mejar (B) Roselin Shah Mohd Akhbar selaku Naib Yang Dipertua PIBG SMK Kuhara, pegawai-pegawai SKM, guru-guru, serta para pelajar SMK Kuhara.

ความคิดเห็น


bottom of page