top of page
nabalunews

Majlis perasmian pelancaran Linduk Nursery Rhymes


18 Oktober 2024


PENAMPANG: Linduk Nursery Rhymes adalah satu projek yang mereka-cipta animasi video menggunakan bahasa etnik tempatan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda dengan cara yang lebih interaktif dan menyeronokkan di tadika.


Projek ini mendapat sokongan penuh daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) kerana ia membantu para guru dan kanak-kanak untuk mempelajari bahasa ibunda dengan lebih mudah menggunakan konsep animasi video yang lebih menarik minat dan perhatian kanak-kanak di tadika.


Pelancaran inisiatif unik ini disempurnakan oleh Datuk Philip Lasimbang, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Pengarah Linduk Nursery Rhymes, Herekson Rubin, merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon, Philip dan Junik Bajit atas sokongan padu yang diberikan dalam menghasilkan animasi video dalam bahasa etnik tempatan.


Dalam ucapannya, Philip menegaskan bahawa YBR amat menghargai usaha ini dan beliau turut menyampaikan mesej daripada YB Menteri yang menekankan pentingnya menyokong dan memartabatkan bahasa etnik dan bahasa ibunda.


Ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan bahasa-bahasa ini terus dipelihara dan dipraktikkan oleh generasi muda.


Selepas pelancaran ini, satu lagi animasi dalam bahasa etnik Murut Timugon akan dilancarkan di Tenom, yang turut menjadi antara fokus utama projek ini.


Turut hadir dalam majlis ini ialah Junik yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Herman Tiongsoh, Ahli Lembaga Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF), Rita Lasimbang, Ketua Eksekutif KLF, serta pegawai-pegawai dari Yayasan Bank Rakyat.

Comments


bottom of page