top of page

Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan bincang cadangan Akta Koperasi yang baharu

  • Wartawan Nabalu News
  • 1 day ago
  • 2 min read

22 April 2025


SHAH ALAM: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) membincangkan cadangan Akta Koperasi yang baharu.


Beliau berkata, sesi libat urus itu bertujuan mendapatkan input dan pandangan konstruktif daripada ahli-ahli Majlis dalam usaha memperkemas Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi yang sedang digubal.


Katanya, sebelum ini, beberapa sesi taklimat dan pembentangan mengenai cadangan penggubalan akta baharu telah diadakan, termasuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta ahli-ahli Parlimen, yang memberikan maklum balas positif.


“Sehingga kini, KUSKOP dan SKM telah melaksanakan sebanyak 10 sesi libat urus dengan penyertaan 295 buah koperasi dan 47 agensi Kerajaan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berkaitan RUU koperasi yang baharu.

“Selanjutnya, satu sesi libat urus dengan Anggota Pentadbiran dan Kerajaan Sabah akan diadakan pada 2 Mei akan datang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bil. 1/2025 di Dewan Anjung Seri Budiman Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, di sini, hari ini.


Ewon berkata, kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam proses menggubal suatu akta koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).


Katanya, penggubalan akta tersebut bertujuan memperkasakan gerakan koperasi negara dengan meliberalisasikan perundangan sedia ada serta memperkukuh peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai badan kawal selia utama koperasi.

“Dengan penggubalan akta koperasi yang baharu ini, KUSKOP optimis koperasi akan menjadi lebih responsif, dinamik dan berdaya saing. Ia juga dijangka dapat memudahkan urusan perniagaan koperasi dan mempertingkatkan tahap tadbir urus,” katanya.


Katanya, Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung Penetapan Dasar Penggubalan Akta Koperasi Yang Baharu telah dibentangkan dan dipersetujui secara prinsipnya oleh Jemaah Menteri, pada 8 Januari 2025.


“Keperluan menggubal akta baharu ini mengambil kira dapatan dua kajian yang dilaksanakan oleh KUSKOP pada tahun 2023 iaitu Kajian Perundangan Berkaitan Koperasi dan Kajian Kekangan Koperasi Sebagai Entiti Perniagaan Dalam Konteks Perundangan.

“Kedua-dua kajian ini meneliti perkara-perkara sedia ada yang perlu ditambah baik demi mewujudkan persekitaran perniagaan yang mampan dan lestari bagi ekosistem koperasi, di samping memperkasa badan induk gerakan koperasi dan sistem penyampaiannya,” katanya.

 

Ewon berkata, dapatan kajian mendapati terdapat perundangan yang mengekang koperasi untuk terlibat dalam sesuatu perniagaan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page