top of page
Wartawan Nabalu News

Majlis Presiden PH gesa sidang khas Parlimen bincang isu Azam Baki


12 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa satu sidang khas Parlimen diadakan segera untuk membincangkan isu siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.


Majlis itu berpendapat sidang khas tersebut dilakukan sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari ini.

PH berkata kenyataan media enam Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) juga menunjukkan terdapat kepincangan dalam proses siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.


“Majlis PH meneliti kenyataan media enam ahli LPPR yang telah menjauhkan diri mereka dari kenyataan Tan Sri Abu Zahar, Pengerusi LPPR yang cuba membersihkan nama Tan Sri Azam Baki. Kenyataan media enam ahli LPPR ini amat mengejutkan dan membuka mata seluruh negara kepada kepincangan dalam proses siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM.


“Jelas SPRM atau badan penasihat SPRM tidak boleh melakukan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya sendiri, dan siasatan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM amat diperlukan.


“Kenyataan enam Ahli LPPR ini menjadi bukti paling kukuh Pengerusi LPPR sudah tidak diyakini dan tidak dipercayai Ahli LPPR. Oleh itu, Tan Sri Abu Zahar perlu direhatkan sehingga selesai siasatan penuh terhadap Ketua Pesuruhjaya,” Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan, hari ini.


Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.


Pada masa yang sama, Majlis itu juga menggesa Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Tan Sri Borhan Dolah juga perlu direhatkan sehingga siasatan yang sama selesai kerana enggan bertindak menyiasat Azam Baki sungguhpun Azam berkemungkinan telah melakukan kesalahan undang-undang.


Majlis itu juga mendesak agar perlunya kempimpinan baru yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR dan PPPR SPRM agar kewibawaan, integriti dan kredibilit SPRM dapat dipulihkan semula.


“Majlis Presiden memandang serius dan perlu menegur kenyataan media tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Ketua Pesuruhjaya serta membuat tuduhan motif ‘dendam politik’.


“Tindakan janggal mereka secara terburu-terburu menyokong "bos" mereka dengan kenyataan terbuka menyerupai tingkahlaku ahli politik dalam sebuah parti politik dan bukannya agensi terhormat seperti SPRM.


“Kalau begitu suatu siasatan yang dijalankan secara mendadak oleh SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti (SC) taktala sedang menyiasat perdagangan saham secara proxy oleh Azam Baki di mana ramai telahpun dihukum sebelum ini, boleh juga disifatkan sebagai tekanan untuk motif ‘dendam politik’,” ujar mereka.


Majlis itu berkata sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu bahawa kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya, dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.


“Oleh itu, pegawai-pegawai kanan ini perlu membuat laporan polis dan biarkan pihak Polis Diraja Malaysia siasat secara terbuka kerana sememangnya SPRM tidak akan menyiasat Azam secara bebas dan profesional sebaliknya akan ‘membersihkan’ nama beliau.

Comments


bottom of page