top of page
nabalunews

Malaysia akan jadi tuan rumah sukan SEA 2027 dengan penganjuran bersama Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur

30 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 dengan penganjuran bersama antara Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah, dan Pulau Pinang, setelah ketiga-tiga negeri tersebut bersetuju untuk berkongsi kos penganjuran yang dianggarkan mencecah RM700 juta.


Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menjelaskan bahawa Sarawak akan menanggung 50 peratus daripada kos penganjuran, iaitu lebih RM300 juta, manakala Sabah akan menyumbang RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta.


“Anggaran ini berdasarkan kos sewaktu kita anjurkan Sukan SEA 2017. Malah, kali ini juga kita terima peruntukan yang ia dibiayai kerajaan negeri, jadi kerajaan persekutuan tak tanggung banyak, sebab itu Kabinet setuju anjur Sukan SEA," kata Yeoh selepas sesi Tenaga Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) bersama penggiat industri sukan di Majlis Sukan Negara.


Keputusan untuk menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan ini dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, selepas mengambil kira komitmen penganjuran bersama oleh Sarawak, Sabah, dan Pulau Pinang.


Yeoh turut memaklumkan bahawa beberapa negeri lain juga telah menyatakan minat untuk menjadi hos bersama, namun terpaksa ditolak kerana tidak bersedia untuk menanggung kos penganjuran.


"Kita telah menghantar surat jemputan kepada pimpinan negeri untuk menjadi hos bersama. Selepas peringatan diberikan, hanya tiga negeri yang memberikan jawapan bersama komitmen untuk menanggung kos. Ada negeri yang berminat, tetapi mereka tidak bersedia memberikan peruntukan," jelasnya.

Opmerkingen


bottom of page