top of page
  • nabalunews

Malaysia Capai 43 Peratus daripada Petunjuk SDG, Jauh Melebihi Purata Dunia - PM Anwar


17 September 2024


KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mencapai 43 peratus daripada 248 petunjuk terkini Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), jauh melebihi purata dunia yang hanya berada pada tahap 17 peratus, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau menyatakan bahawa pencapaian ini adalah bukti kejayaan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran melalui pelaksanaan pembaharuan. Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa pencapaian ini bukanlah satu jaminan yang berterusan, dan usaha gigih masih diperlukan bagi memastikan kemajuan Malaysia dalam mencapai matlamat pembangunan mampan di masa hadapan.


“Bila ada perbincangan, saya nyatakan jangan membuat ukuran begitu. Pencapaian ini hanya memberi sedikit petanda. Tetapi kita harus tanya apakah pencapaian cita-cita Ekonomi MADANI dan SDG ini, sesuatu yang perlu untuk negara dan bagi manusia.


“Dan sekiranya jawapan itu perlu, maka kita harus bergegas dengan upaya yang lebih untuk mencapai prestasi yang terbaik. Itu bagi saya petanda aras kita,” kata Anwar menerusi ucap tama beliau semasa merasmikan Sidang Kemuncak SDG 2024, di sini, hari ini.


Justeru, beliau berkata, Malaysia terus komited untuk mencapai matlamat SDG, dengan cara terbaik.


"Kita harus melakukan apa sahaja yang perlu sebaik mungkin untuk memastikan kita mencapai matlamat ini dengan lebih hebat lagi kerana itulah sebenarnya makna Madani," katanya.


Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI amat komited untuk menangani isu-isu nilai, kemanusiaan, dan belas ihsan, melangkaui tonggak utama SDG, yang menumpukan kepada kepentingan ekonomi, sosial dan alam sekitar.


"Saya terkejut dengan hakikat bahawa masih ada pemimpin yang tidak percaya dengan impak daripada iklim. Dengan semua tahap kecanggihan, pengetahuan dan pemahaman ini, kita masih berdepan masalah itu,” tegas beliau.


Sehubungan itu, kata beliau, ini adalah bahagian yang perlu sentiasa ditambah baik oleh negara.


“Ekonomi, pembangunan dan kemampanan tidak bermakna jika tidak ada kefahaman selain tentang apa itu ihsan dan kemanusiaan, apa itu keadilan dan keselamatan termasuk persekitaran dan iklim yang sebahagiannya boleh kita tentukan dan sebahagiannya kita terima sebagai kenyataan undang-undang hukum alam,” kata Anwar.


Oleh itu, selain memberi penekanan kepada kerangka SDG, negara juga perlu melakukan perubahan selari dengan tuntutan semasa, kata beliau.

Komentar


bottom of page