top of page
nabalunews

Malaysia dan Vietnam perkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai sektor


21 November 2024


PUTRAJAYA: Malaysia dan Vietnam sepakat memperkukuh kerjasama strategik yang lebih komprehensif meliputi sektor pertahanan, marin, digital, dan tenaga, termasuk mempercepatkan pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan keyakinannya bahawa hubungan erat ini akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.


“Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam, menunjukkan sokongan yang amat baik, begitu juga dengan pemimpin di Vietnam. Kita akan memastikan kerjasama dalam semua bidang ini dipermudahkan, termasuk pertahanan, marin, dan sektor digital serta tenaga,” katanya semasa sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala di Bangunan Perdana Putra.


Terdahulu, Anwar dan To Lam menyaksikan pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU) penting. MoU pertama membabitkan promosi perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE).


MoU kedua melibatkan kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu antara PETRONAS dan PETROVIETNAM.


To Lam, yang pertama kali melawat Malaysia sejak dilantik sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos lalu, tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.15 pagi. Beliau kemudian disambut secara rasmi di Dataran Perdana bersama delegasinya.

댓글


bottom of page