top of page

Malaysia di landasan tepat pacu transformasi ekonomi melalui AI dan digitalisasi

nabalunews

24 Januari 2025


DAVOS: Malaysia kini berada di landasan tepat untuk memacu transformasi ekonomi melalui sektor kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, dan ekonomi digital, yang bakal menjadikan negara sebagai hab pelaburan berdaya saing di peringkat global.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah proaktif ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi strategik tetapi juga berpotensi menyediakan ratusan ribu peluang pekerjaan untuk rakyat.


“Ini semua akan memberikan peluang pekerjaan ratusan ribu orang. Kita dapat angkat kedudukan ekonomi mereka, jadi tak tertekan dengan kos sara hidup dan biarlah pekerjaan yang memberikan upah yang setimpal. Semua ini bermula dengan Malaysia sebagai negara yang kukuh, aman, dan punya dasar jelas,” katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa penghormatan yang diterima Malaysia di peringkat antarabangsa menunjukkan negara sedang menuju arah yang betul.


“Kalau dibandingkan dengan negara serantau, kita dah menjadi tumpuan. Kita negara kecil, tapi penghormatan diberikan kepada Malaysia itu sangat baik. Jadi kita gunakan peluang itu sebanyak mungkin,” katanya, lapor Berita RTM.


Dalam wawancara bersama Astro Awani selepas Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Perdana Menteri menekankan pentingnya memperluaskan ruang perdagangan dan jaringan global sebagai dasar utama ekonomi negara.


“Saya katakan strategi Malaysia apa, ia membuka ruang perdagangan dan jaringan yang lebih luas. Sebab itu kita masuk BRICS, kita perkukuh dalam dua tahun ini. Tengok lonjakan kita dengan China, Rusia, dan Eropah. Semua ini memastikan seandai kata ada tekanan baharu, kita lebih bersedia dengan pendekatan yang fleksibel dan berkesan,” katanya.

Comments


bottom of page