Malaysia diiktiraf antarabangsa dalam usaha perangi rasuah
21 November 2024
KUALA LUMPUR: Usaha berterusan Malaysia dalam memerangi rasuah mula mendapat perhatian global, dengan Kerajaan Qatar menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi merangka program membanteras rasuah di negara-negara Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan pengiktirafan ini menunjukkan peningkatan imej negara dalam usaha antirasuah.
"Antirasuah sekarang sudah meningkatkan imej kita, bukan saja daripada segi indeks persepsi rasuah, tapi pengiktirafan negara luar yang minta kita kerjasama. Minggu depan, Kerajaan Qatar minta satu rombongan utama membabitkan menteri dan SPRM untuk merangka program pembanterasan rasuah di negara Islam," katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menjelaskan kedudukan Malaysia yang menurun dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 daripada tangga ke-73 ke tangga ke-107.
Penurunan sebanyak 34 anak tangga itu disebabkan keterbatasan tertentu, termasuk isu sensitif berkaitan 3R (agama, kaum, dan raja).
"Kita terikat dengan pandangan Raja-Raja Melayu bahawa mereka tidak mahu dan tidak mengizinkan sebarang kecaman di khalayak tanpa tindakan. Saya terima teguran Ahli Parlimen Pendang bahawa ada keperluan untuk memperbaiki persepsi-persepsi ini, cuma kita ada keterbatasan," katanya.
Menurut data daripada Reporters Without Borders (RSF), Malaysia mencatat 52.07 mata dalam laporan tahun ini, berbanding 62.83 mata pada 2023.
Comments