Malaysia hantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan pelanggaran sempadan maritim
15 November 2024
KUALA LUMPUR: Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah.
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata Akta Zon Maritim Filipina (Philippine Maritime Zones Act) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (Philippine Archipelagic Sea Lanes Act) yang ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 November lalu disahkan telah melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata terdapat dokumen rujukan akta berkenaan turut menyentuh soal tuntutan negara itu terhadap Sabah.
"Kita telah pun memuktamadkan dan mempertimbangkan beberapa isu utama yang akan kita masukkan dalam nota bantahan kita.
"Nota bantahan ini, kita akan hantar hari ini juga demi menunjukkan komitmen kita bahawa hak kedaulatan Sabah dan negara kita akan terus kita pertahankan," katanya seperti dilaporkan Bernama ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut laporan media antarabangsa, kedua-dua akta maritim baharu Filipina itu dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh tuntutan Manila ke atas kawalan Laut China Selatan yang masih dipertikaikan sehingga kini.
Comments