Malaysia harap semangat perdagangan bebas, adil diteruskan pentadbiran baharu AS
16 November 2024
LIMA (Peru): Malaysia berharap Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu dipilih, Donald Trump terus mendukung prinsip perdagangan bebas dan adil yang menjadi asas kerjasama ekonomi antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan prinsip itu penting untuk memastikan hubungan perdagangan yang menguntungkan semua pihak termasuk negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
"Ucapan pemimpin APEC secara umumnya menyatakan sokongan terhadap semangat perdagangan bebas dan adil.
"Kita berharap semangat ini diterima oleh semua, termasuk Amerika Syarikat," katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di sini, pada Sabtu.
Anwar turut menekankan bahawa Malaysia sebagai negara yang aktif berdagang dengan pelbagai negara termasuk AS, mahukan dasar perdagangan yang terbuka dan saksama.
"Belum ada tanda-tanda awal bahawa semangat ini, prinsip ini mahu dikorbankan dan dilanggar," katanya merujuk kepada kebimbangan mengenai kemungkinan perubahan dasar perdagangan AS yang lebih ketat di bawah pentadbiran baharu.
Perdana Menteri juga menyatakan keyakinan bahawa pelaburan AS di Malaysia, yang kini berada pada tahap tinggi, akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Mengenai dasar tarif baharu yang dirancang AS, Anwar berkata, adalah penting bagi negara anggota APEC untuk memberi penekanan terhadap elemen perdagangan yang adil.
Di Kuala Lumpur, kita mungkin mempunyai fokus yang berbeza, tetapi denominator yang sama adalah memastikan perdagangan yang bebas dan adil dilaksanakan," katanya.
Sambil mengulas peranan Malaysia di dalam APEC, Perdana Menteri menyatakan bahawa negara akan terus memperjuangkan prinsip keadilan dalam perdagangan antarabangsa dan memastikan kepentingan Malaysia terjamin.
Comments