Malaysia hargai usaha Arab Saudi anjur sidang kemuncak luar biasa Arab-Islam - Anwar
11 November 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Arab Saudi atas penganjuran Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam hari ini.
Anwar menerusi hantaran Facebook berkata sidang kemuncak itu penting untuk menangani keganasan dan kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan Lubnan.
"Alhamdulillah, selamat tiba di Riyadh atas jemputan Penjaga Dua Tanah Suci, kerajaan Arab Saudi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam.
"Marilah kita bersatu dalam tekad untuk menentang kezaliman dan berdoa semoga usaha Malaysia untuk membawa keadilan dan keamanan kepada mereka yang ditindas dipermudah, insya-Allah," kata beliau dalam hantaran itu.
Anwar tiba di Riyadh dari Kaherah, Mesir pada Isnin.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid disambut oleh Timbalan Gabenor Wilayah Riyadh Putera Muhammed bin Abdulrahman bin Abdulaziz dan Datuk Bandar Wilayah Riyadh Putera Dr Faisal bin Abdulaziz bin Ayyaf, serta kawalan kehormatan.
Perdana Menteri dijadualkan kembali ke Kaherah untuk meneruskan siri libat urus yang telah dirancang lebih awal dengan delegasi Malaysia dan Mesir.
Comments