top of page
  • nabalunews

Malaysia juara Pestabola Merdeka, tamatkan penantian kejuaraan 11 tahun


9 September 2024


KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan rekod buruk 25 perlawanan menentang pasukan dari negara Arab apabila menewaskan Lubnan 1-0 dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi untuk kembali menjulang trofi Pestabola Merdeka selepas penantian selama 11 tahun.


Kemenangan ke atas pasukan ranking ke 116 dunia itu menjadi detik manis buat pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente apabila menjulang trofi pertamanya hanya selepas dua aksi mengemudi Harimau Malaya.


Kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka turut menebus kekecewaan tahun lalu selepas Malaysia tewas 0-2 kepada Tajikistan di perlawanan akhir di mana ketika itu Vicente bertindak sebagai penolong jurulatih kepada Kim Pan Gon yang kini sudahpun meninggalkan Harimau Malaya.


Kali terakhir Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka adalah 11 tahun lalu pada 2013 yang disertai skuad bawah 23 tahun dengan Malaysia menewaskan Myanmar 2-0 di final.


Pada aksi malam tadi, Harimau Malaya yang melakukan enam perubahan dalam kesebelasan utama berbanding berdepan Filipina, Rabu lalu, menguasai permainan selain banyak melakukan serangan ke kubu lawan.


Pemain naturalisasi, Romel Morales mencetus suasana girang dan gegak gempita di Stadium Nasional apabila menyumbat gol untuk Malaysia pada minit ke-33 selepas rembatan jarak dekatnya gagal diselamatkan penjaga gol Lubnan, Mehdi Khalil.


Kemasukan bintang muda sensasi, Arif Aiman Hanapi pada separuh masa kedua berjaya menambah sengat dibahagian serangan.


Arif Aiman nyaris menambah gol kedua Malaysia pada minit ke-52 selepas melepasi dua pertahanan Lubnan, namun rembatannya diselamatkan penjaga gol Lubnan.


Pada minit ke 78, pasukan pelawat terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Khalil Khamis dilayangkan kad merah kerana menerima kad kuning kedua selepas mengasari Arif Aiman.


Situasi tegang turut tercetus antara pegawai kedua-dua pasukan di bangku pemain simpanan sebelum berjaya dileraikan.


Meskipun beraksi dengan kelebihan seorang pemain, Malaysia tidak berjaya menambah gol, sekali gus jaringan tunggal Morales sudah cukup untuk melengkapkan malam gemilang untuk Harimau Malaya.


Ini kemenangan kedua berturut-turut Malaysia selepas menewaskan Filipina 2-1 dan keputusan itu bakal menambah jumlah mata Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Comentarios


bottom of page