top of page
nabalunews

Malaysia kecam keras serangan Israel ke atas Iran, panggil hentikan permusuhan segera



26 Oktober 2024

 

PUTRAJAYA: Malaysia mengecam keras tindakan serangan oleh rejim Zionis Israel yang dilaporkan berlaku di beberapa bandar Iran seperti Tehran, Karaj, Kashan, Mashhad, dan Shiraz pada awal pagi ini, menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan ancaman kepada kestabilan serantau.

 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra, Malaysia menyatakan kebimbangan serius mengenai insiden ini, sambil menyeru semua pihak menghentikan permusuhan.

 

“Skala serangan, jumlah yang terkorban, dan tahap kerosakan masih ditentukan. Malaysia menggesa agar tindakan permusuhan dihentikan serta-merta dan kitaran keganasan ditamatkan,” tegas kenyataan itu.

 

Wisma Putra turut menyatakan bahawa tindakan tanpa henti oleh Israel yang tidak dihadapkan ke muka pengadilan boleh merosakkan keamanan di Asia Barat dan membawa rantau tersebut ke ambang konflik yang lebih luas.

 

Kenyataan itu juga menasihatkan rakyat Malaysia di Iran, termasuk pelajar, supaya sentiasa berhati-hati, mengikuti perkembangan terkini, dan mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan. Wisma Putra mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas, manakala Kedutaan Malaysia di Tehran terus memantau keadaan dengan rapi.

 

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Tehran melalui +9821 88072444 atau +9821 88078606, atau melalui e-mel ke mwtehran@kln.gov.my.

Comments


bottom of page