top of page

Malaysia Kekal di Tangga Ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2024

nabalunews

11 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Gabungan antirasuah global Transparency International (TI) mendedahkan Malaysia kekal di tangga ke-57 dalam indeks persepsi rasuah bagi tahun 2024.


Perkara itu diperolehi menerusi keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024, yang menilai tahap rasuah dalam sektor awam di 180 negara berdasarkan sembilan tinjauan berbeza.


Denmark, Finland, dan Singapura menduduki tiga tangga teratas dengan skor masing-masing 90, 88, dan 84 mata, manakala Venezuela (10), South Sudan (9), dan Somalia (8) pula berada di kedudukan tercorot dalam indeks berkenaan.


Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini mendedahkan, bagi Malaysia, skor CPI 2024 kekal pada 50 mata iaitu sama seperti tahun sebelumnya dan masih berada di tangga ke-57 daripada 180 negara.


Walaupun kedudukan ini tidak berubah, kerajaan perlu meningkatkan skor sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun bagi mencapai sasaran 68-70 mata menjelang 2033 untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik.


Menurut Transparency International-Malaysia (TI-Malaysia) berkata, beberapa faktor utama menyumbang kepada kedudukan Malaysia yang kekal adalah isu rasuah dalam sektor perniagaan di mana ramai masih merasakan masalah rasuah merupakan isu utama yang perlu dibendung dalam sektor awam.


“Walaupun Kerajaan Madani telah memberikan penekanan terhadap tatakelola yang baik dan pembaharuan institusi, usaha-usaha Pembaharuan Institusi masih bergerak dengan perlahan.


“Semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas disabitkan oleh

mahkamah tertinggi ke atas kes berprofil tinggi mewujudkan persepsi unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.


“Bilangan kes-kes DNAA (Discharge Not Amounting to Acquittal) yang tinggi yang diberikan untuk kes berprofil tinggi juga mewujudkan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman atau dalam proses pendakwaan.


“Walaupun pihak SPRM telah membuat tangkapan, masih terdapat kes-kes salah guna kuasa dan rasuah yang berterusan oleh penjawat awam.


“Laporan Ketua Audit Negara yang masih menunjukkan kelemahan tatakelola kerajaan tanpa tindakan tegas terhadap pegawai yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Sementara itu, dalam laporan berkenaan turut mencadangkan langkah pembaharuan kerajaan dalam usaha untuk membanteras rasuah.


Menurutnya, antara langkah yang diambil termasuk Pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024, Penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI dan Pindaan Akta Audit 1957 yang memperluaskan kuasa Ketua Audit Negara terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC)


Selain itu katanya, turut diletakkan dalam langkah pembaharuan ialah Pindaan Akta Syarikat yang mewajibkan pendedahan pemilik manfaat (Beneficial Ownership Transparency) dan Pelaksanaan DEEP (Demerit Performance Evaluation System) bagi meningkatkan prestasi penjawat awam mulai 2025.


Sehubungan itu, TI-Malaysia menekankan kerajaan perlu mempercepatkan pembaharuan institusi untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti, serta mengelakkan campur tangan politik dalam badan kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM.


Selain itu katanya, kerajaan juga digesa untuk menambah baik Integrity Pact selaras dengan piawaian antarabangsa dan memastikan pengawasan bebas terhadap projek mega bagi mengelakkan ketirisan dana awam.


“Dalam usaha memperkukuh ketelusan, kerajaan juga disaran memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), rantaian blok (blockchain), dan data besar (big data) bagi mengurangkan risiko birokrasi serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.


“Dengan langkah-langkah ini, diharapkan Malaysia dapat meningkatkan skor CPI secara konsisten dan mencapai matlamat untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik menjelang 2033,” katanya.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page