top of page

Malaysia kekal ekonomi terbuka, sedia hadapi cabaran global - Mohamad Hasan

nabalunews

4 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan komitmennya untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka, meskipun berdepan ketidaktentuan global, termasuk perubahan dasar pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS).


Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menekankan bahawa Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa akan terus memanfaatkan peluang bagi memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama sedia ada dengan AS.


“Sebagai sebuah negara yang ekonominya banyak bergantung kepada perdagangan, kita pasti akan merasai kesannya secara langsung atau tidak langsung.


“Namun, kita sedang meneliti keadaan ini dan laporan-laporan akan dibentangkan kepada kabinet dari semasa ke semasa,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang ingin tahu bagaimana Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan mengimbangi hubungan ASEAN bersama BRICS dengan mengambil kira ancaman ekonomi oleh AS di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump.


Mohamad Hasan turut menegaskan bahawa kerajaan sedang mengambil langkah strategik bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan negara dan perubahan geopolitik global, tanpa menjejaskan keterbukaan ekonomi Malaysia.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page