Malaysia kini lebih selektif terima pelaburan, pastikan ada nilai tambah – Anwar
29 Oktober 2024
PUTRAJAYA: Malaysia mempunyai kelebihan dalam menentukan bentuk pelaburan yang diingini, hasil keupayaannya menarik minat pelabur dalam pelbagai sektor, terutama yang berasaskan teknologi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan hanya akan menerima pelaburan yang membawa nilai tambah kepada rakyat dan negara.
“Dahulu kita terima semua pusat data, sekarang tidak, pusat data kalau ditambah pusat kecemerlangan, kecerdasan buatan (AI) dan pertukaran latihan serta pendedahan, ya (kita terima pelaburan itu), jika tidak, kita tidak akan terima (pelaburan terbabit).
“Kita ada kelebihan di sini kerana kita sudah sampai ke tahap di mana kita boleh menjadi lebih selektif kepada jenis pelaburan yang diterima,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.
Beliau berkata demikian pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk ‘Sektor Tenaga Pemangkin Pertumbuhan Sosioekonomi yang Mampan dan Inklusif’, di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia perlu mengimbangi jalinan hubungan antara negara asing demi meningkatkan pelaburan, namun masih mempertahankan sokongan teguh terhadap Palestin.
Jelasnya, hubungan itu adalah langkah negara bagi membina kekuatan dalaman demi menjaga kepentingan, keselamatan dan masa depan negara.
“Saya tahu pendirian kita tentang Gaza, tetapi harus ingat juga tentang kepentingan negara.
“Sebab itu saya sebut pada Mesyuarat Jemaah Menteri, saya kata soal Gaza ini kita still menzahirkan pendirian kita secara keras, baik depan Joe Biden (Presiden Amerika Syarikat – AS), baik depan Antony Blinken (Setiausaha AS) kerana saya ingat mereka (Israel) sudah langgar semua pertimbangan kemanusiaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia turut mengambil pendekatan dasar luar yang semakin tegas tanpa mengabaikan diplomasi.
“Kita kekal bersikap sopan tetapi terus terang dalam hubungan kita,” katanya merujuk kepada kerjasama dengan China.
Menurutnya, projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini dijalankan “mengikut syarat kita” dengan penekanan kepada penggunaan sumber tempatan, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan.
コメント