Malaysia komited perkukuh hubungan dagang dengan BRICS
5 November 2024
SHANGHAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia komited untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan dengan negara-negara anggota BRICS, selaras dengan hasrat negara untuk mencapai kemakmuran bersama melalui kerjasama global.
Beliau berkata langkah ini seiring dengan ‘Prinsip Perkongsian Masa Depan Bersama’ yang diperkenalkan oleh China, yang mendapat sambutan baik dari negara-negara di Asia, Afrika, Amerika Latin, dan negara-negara selatan global.
“Itulah sebabnya Malaysia bersetuju menyertai BRICS, dan saya menekankan ucapan hebat Presiden Xi Jinping dalam persidangan BRICS di Kazan baru-baru ini, yang mana beliau menyeru agar semangat masa depan bersama dipegang untuk melawan elemen perpecahan dan perlindungan diri.
“Kita mesti membina komuniti masa depan bersama untuk menjamin keamanan global, keselamatan global, dan berkongsi pengalaman, kepakaran, serta teknologi dengan dunia,” kata Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di sini, hari ini, lapor Berita RTM.
Anwar turut memuji dasar China yang mempermudah perdagangan dan pelaburan, yang menurutnya menjadi contoh baik bagi negara-negara yang menyertai ekspo ini. Kejayaan China merangsang ekonomi dan memperkukuh hubungan dagang antara negara dijadikan teladan.
Ekspo CIIE ke-7 ialah inisiatif Kerajaan China yang menyediakan platform bagi negara-negara dalam Inisiatif Jalur dan Laluan untuk mempromosi dan mengeksport barangan serta perkhidmatan ke China.
Pada 24 Oktober lalu, Malaysia secara rasmi diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan baharu dalam BRICS, bersama 12 negara lain termasuk Algeria, Belarus, Bolivia, dan Indonesia.
BRICS, yang pada asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India, dan China, ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi yang sedang membangun, dengan penyertaan Afrika Selatan pada 2010. Blok itu kini berkembang dan mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global serta menyumbang AS$26.6 trilion (RM115.4 trilion) kepada KDNK dunia.
Comments