top of page
nabalunews

Malaysia komited perkukuh kerjasama ASEAN-GCC + China 2025 demi kemakmuran serantau

5 November 2024


SHANGHAI: Menjelang peranannya sebagai pengerusi ASEAN-GCC + China pada 2025, Malaysia bertekad untuk berkongsi visi dan prinsip bagi mencapai kemakmuran bersama.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis bahawa prinsip yang disokong oleh China ini akan memberikan manfaat kepada ekonomi negara-negara serantau, khususnya dalam pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif.


“Sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, ASEAN-2 berpotensi menjadi pemacu utama untuk pertumbuhan yang mampan. Ini membuka jalan ke arah era kemakmuran bersama yang telah kita saksikan di China melalui amalan tadbir urus yang baik, pembasmian rasuah, serta pembaharuan sosio-ekonomi dan perindustrian,” ujar Anwar ketika berucap pada Majlis Pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7.


Dalam majlis tersebut, Malaysia turut diiktiraf sebagai ‘country of honour’ dan merupakan negara kedua yang menyampaikan ucaptama selepas Perdana Menteri China, Li Qiang.


Sebagai persediaan untuk Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Anwar memaklumkan hasrat Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dan rangka kerja serantau yang inklusif.


Anwar turut menekankan kepentingan kerjasama global dalam perdagangan bebas dan kemampanan demi kemajuan dunia.


Perdana Menteri dijangka berada di China selama empat hari hingga 7 November atas undangan Perdana Menteri China, Li Qiang, untuk menghadiri CIIE di Shanghai, yang merupakan hab kewangan global.

Comments


bottom of page