Malaysia kutuk keras pencerobohan Israel terhadap undang-undang antarabangsa
nabalunews

19 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara dan bedilan artileri Israel ke atas Gaza pada Selasa, yang secara sepihak mengingkari menamatkan perjanjian gencatan senjata.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra memaklumkan, serangan terbaru berkenaan telah meragut lebih 300 nyawa di wilayah Palestin.
Katanya, gelombang serangan terbaru oleh rejim Zionis Israel tersebut turut menyasarkan Syria, Lubnan, dan Yaman.
“Ia mengakibatkan lebih banyak kematian dan kecederaan termasuk kanak-kanak serta petugas kemanusiaan.
“Tindakan agresif Israel ini jelas membuktikan bahawa rejim tersebut tidak mempunyai sebarang hasrat untuk berdamai dengan negara-negara jirannya.
“Sebaliknya, Israel terus mencabuli undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), serta usaha damai yang sedang dijalankan.
“Pembunuhan berterusan terhadap orang awam, termasuk kanak-kanak, wanita, dan petugas kemanusiaan, merupakan jenayah perang, genosid serta pembersihan etnik,” katanya.
Menurutnya, serangan Israel ke atas negara-negara berdaulat juga menjadi ancaman serius terhadap keamanan dan kestabilan global.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB untuk melindungi orang awam serta menamatkan kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang.
“Rejim Zionis Israel harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya.
Comentários