top of page
Wartawan Nabalu News

Malaysia merupakan hub strategik untuk pasaran global - PM Anwar


14 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


BERLIN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kini muncul sebagai sebuah negara yang strategik dan berkembang pesat.


Beliau berkata, Malaysia adalah hub strategik bagi syarikat yang ingin meluaskan pasaran mereka ke Barat, Eropah atau Timur, terutamanya bagi menembusi pasaran China.


Dalam ucaptama beliau di Zukunftsag Mittelstand atau Hari Masa Depan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Future Day), beliau berkata negara Malaysia mempunyai dasar ekonomi yang jelas dan keupayaan untuk menyediakan segala fasiliti perniagaan bagi membantu melonjakkan pulangan ekonomi yang baik.


"Pastinya kami terbuka untuk rundingan. Bagi anda yang mahu menembusi pasaran China, maka anda perlukan pangkalan penting di Malaysia. Kami akan sediakan pangkalan itu untuk eksport, seperti yang telah dilakukan oleh Volkswagen, Airbus, Siemens dan Infineon untuk kekalkan Malaysia sebagai hab yang penting,” katanya pada Rabu.


Anwar juga menegaskan bahawa keupayaan Malaysia untuk menawarkan peluang pelaburan dan perdagangan yang lumayan adalah kerana dasar ekonomi yang jelas dan memandang jauh kehadapan.


"Dalam Kerangka Ekonomi Madani kita letakkan sasaran peralihan tenaga yang jelas. Malaysia akan menjadi hab utama di rantau asia tenggara untuk teknologi hijau; hidrogen dan ammonia.


“Bahkan tenaga hidro yang dijana pada skala besar, mungkin yang terbesar di rantau asia tenggara, sehingga boleh dieksport ke ibu negara baharu Indonesia. Ini termasuk kabel bawah laut untuk tenaga hidrogen yang dibekalkan dari Sarawak ke Singapura dan Semenanjung Malaysia. Ini bermakna kami ada jumlah tenaga yang sangat banyak. Tenaga hijau menjadi keutamaan," jelasnya.


Beliau juga menjelaskan kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan hub operasi bagi syarikat asing adalah kerana sumber tenaga mahir yang dimiliki negara.


"Apabila ditanya kenapa syarikat-syarikat Jerman memilih Malaysia, selain daripada aspek keamanan dan dasar ekonomi yang jelas, mereka katakan pemilihan itu adalah kerana tenaga buruhnya yang berbahasa Inggeris, disiplin, dan dilatih dengan baik," ujarnya.


Perdana Menteri juga menegaskan bahawa segala kelebihan yang ada pada Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang berkembang sihat dan destinasi pelaburan yang menarik adalah kerana keamanan yang dikecapi. Di samping itu, Malaysia juga mampu menarik minat syarikat-syarikat asing untuk melabur adalah kerana hubungan yang baik dimiliki Malaysia dengan negara-negara lain.


"Mengapa kami mampu terus hidup di Asia Tenggara adalah kerana kita ada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.


“Pastinya majoritinya Muslim, tetapi kami tidak abaikan etnik dan agama lain, sebaliknya kami berkerjasama. Di utara ada Thailand dengan majoriti beragama Buddha. Di Selatan ada Singapura. Di timur ada Filipina dengan majoriti beragama Kristian. Tetapi kami bekerjasama sebagai satu pasukan. “Perbezaan tidak menghambat kami. Inilah semangat kebersamaan, nilai universal yang membolehkan kami capai keamanan di rantau ini, seterusnya melonjakkan rantau ini dengan pertumbuhan ekonomi paling pantas di dunia," tambahnya.

Comments


bottom of page