Malaysia pelbagaikan pasaran eksport, langkah tangani kenaikan tarif AS
- nabalunews
- 5 days ago
- 2 min read

6 April 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia berusaha mempelbagaikan pasaran eksport sebagai langkah ke hadapan dalam menangani kenaikan tarif yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu diambil kerana Malaysia sudah menjangkakan potensi kenaikan tarif terbabit.
“Pada tahun lalu Malaysia sudah mula mengeksport pelbagai barangan ke negara lain termasuk Kenya, Oman dan Namibia, sekali gus berjaya mencapai rekod baharu.
“Selain tiga negara itu, antara pasaran lain mencatat peningkatan besar ialah Angola dengan lonjakan sebanyak 59.3 peratus diikuti Ethiopia (56.04 peratus), Mesir (53.06 peratus) dan Algeria sebanyak 27.09 peratus,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, kerajaan juga giat mengadakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan pelbagai negara, antaranya Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) pada awal tahun ini.
Selain itu, katanya, Malaysia juga telah memulakan semula rundingan FTA dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan pada tahun lepas.
"Satu lagi pasaran eksport yang mempunyai potensi besar ialah ASEAN kerana perdagangan antara negara ASEAN masih rendah di bawah 25 peratus.
"Antara fokus Malaysia sebagai sebagai Pengerusi ASEAN 2025 adalah untuk meningkatkan perdagangan antara negara ASEAN," katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sumber kekuatan negara sebenarnya terletak pada ekonomi tempatan, di mana lebih 60 peratus daripada ekonomi dipacu oleh perbelanjaan dalam negara.
Katanya, kerajaan turut menubuhkan Pusat Pengurusan Geoekonomi Negara (NGCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merangka strategi komprehensif dalam menangani isu seperti ini.
"Pada masa yang sama kita akan teruskan rundingan dengan kerajaan AS untuk cari jalan penyelesaian menang-menang bagi kedua belah pihak.
"Yakinlah kerajaan akan sentiasa berusaha untuk memastikan kepentingan ekonomi Malaysia dan rakyat dilindungi sebaik mungkin," katanya.
Rabu lalu, Trump mengumumkan AS akan memperkenalkan tarif asas 10 peratus terhadap semua import negara itu, termasuk Malaysia pada kadar 24 peratus.
Comentarios