Malaysia perlu ambil pendekatan global, pastikan negara kekal relevan di peringkat global
9 Januari 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil pendekatan global dalam membentuk polisi bagi memastikan negara kekal relevan di peringkat antarabangsa.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dunia kini berubah dengan pantas, dan situasi itu menuntut pemikiran serta tindakan yang lebih berhati-hati dari semua pihak.
"Khususnya, negara-negara di Asia Tenggara akan memainkan peranan penting kerana profil, pendekatan, dan visi rantau ini bertentangan dengan arus global yang kini bergerak ke arah yang berlawanan.
Malaysia dan Asia Tenggara mesti mengiktiraf keunikan yang kita miliki untuk menentukan hala tuju kita", katanya demikian dalam ucapannya di Forum Ekonomi Malaysia (FEM) di ibu negara hari ini, lapor Berita RTM.
Beliau turut menekankan bahawa Asia Tenggara memiliki kelebihan unik dari segi demografi dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus menjadikan rantau ini sebagai kuasa pengguna utama.
Dalam tempoh lima tahun, populasi kelas pertengahan Asia Tenggara dijangka meningkat dan menjadikan rantau ini lebih besar daripada populasi Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Dalam ucapannya juga, beliau turut memaklumkan bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 akan dilancarkan tahun ini sebagai langkah strategik untuk memastikan Malaysia kekal bersaing di pentas global.
Comments