Malaysia Perlu Percepat Eksplorasi Dan Aplikasi Teknologi AI- PM Anwar

24 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempercepat eksplorasi dan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan menggalakkan inovasi dan mengadaptasi pendekatan rentas kementerian dan agensi secara menyeluruh.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat dipengerusikannya hari ini, mengenai Strategi Teknologi AI dan aset digital yang berpotensi memupuk pertumbuhan ekonomi negara lebih mampan.
“Saya titip pesanan, masih terdapat beberapa bidang yang Malaysia berpotensi menjadi peneraju terutama dalam aset digital Islam dan industri halal, namun keputusan berkenaan perkara ini perlu segera dibuat dan dilaksanakan.
“Penekanan perlu dibuat khususnya berkaitan ancaman siber dan juga membina keyakinan dalam kalangan industri dan institusi,” kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.
Justeru Anwar percaya kerjasama secara aktif antara Kementerian Digital; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Kewangan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti melalui sebuah platform khas, dapat menyelaraskan pendekatan itu dengan lebih sistematik serta menyeluruh.
Perdana Menteri berkata kerjasama itu juga kemudiannya dapat memacu ekonomi supaya negara kekal kompetitif dan efektif.
– BERNAMA
Comments