top of page

Malaysia Salur RM10 Juta Bantuan Kemanusian Kepada Myanmar

nabalunews


30 Mac 2025


KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM10 juta sebagai permulaan bagi membantu rakyat Myanmar yang terkesan dengan bencana gempa bumi di negara itu.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau turut mengarahkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetuai misi kemanusiaan ke negara itu minggu hadapan.


Katanya, ia sebagai manifestasi tanggungjawab dan solidariti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.


"Lawatan ini bertujuan untuk menyatakan sokongan padu Malaysia terhadap operasi mencari dan menyelamat yang sedang giat dijalankan.


"Ianya termasuk operasi oleh pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah memulakan penugasan di lapangan bermula hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, keutamaan ASEAN dalam memelihara kesejahteraan rakyat serantau harus diterjemah menerusi tindakan yang cepat, berkesan, dan bersifat menyeluruh.


"Semangat kebersamaan dan tindakan kolektif dalam kalangan negara anggota ASEAN amat penting dalam menangani situasi kemanusiaan seperti ini," katanya.


Selain itu, katanya, Malaysia akan terus berunding dan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN bagi menyelaras bantuan yang diperlukan Myanmar dan memastikan usaha yang digerakkan memberi impak bermakna kepada mangsa.


"Malaysia kekal komited untuk memperkukuh perpaduan serantau dan memacu agenda kemanusiaan ASEAN berteraskan nilai kasih sayang, tanggungjawab bersama, dan solidariti," katanya.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page