top of page
nabalunews

Malaysia salur tenaga elektrik hijau ke Singapura



13 Disember 2024

 

KUALA LUMPUR: Malaysia melakar sejarah baharu dalam perdagangan tenaga apabila bekalan tenaga elektrik hijau pertama sebanyak 50MW mula disalurkan ke Singapura hari ini, hasil pemeteraian Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sembcorp Power Pte Ltd pada 9 Disember lalu. 

 

Menurut kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), penyaluran ini disaksikan Timbalan Menteri, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama pegawai tertinggi kementerian, Suruhanjaya Tenaga, dan TNB di National Load Dispatch Centre, Ibu Pejabat TNB Bangsar. 

 

"TNB selaku syarikat utiliti nasional bertanggungjawab menyalurkan bekalan elektrik hijau dari sistem bekalan elektrik negara ke sistem bekalan elektrik Singapura melalui Syarikat Sembcorp Power, pemegang lesen import bekalan elektrik di negara tersebut. 

 

"Penyaluran tenaga ini dilakukan menerusi rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara," kata kenyataan itu. 

 

Pembekalan ini adalah hasil bidaan melalui Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada Jun 2024, sebagai sebahagian daripada inisiatif PETRA di bawah Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu (CBESRE). 

 

PETRA juga yakin bahawa usaha ini akan memperkukuh aspirasi peralihan tenaga negara dan menyokong komitmen Malaysia dalam melaksanakan Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid), salah satu agenda utama negara menjelang Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025. 

 

 

Comments


bottom of page