top of page

Malaysia sasar kembali menjadi pengeluar getah nombor satu dunia

nabalunews

24 Januari 2025


BANGI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, optimis Malaysia mampu kembali menjadi pengeluar getah nombor satu dunia dalam tempoh 10 tahun dengan pelaksanaan sistematik usaha penanaman semula dan inovasi industri getah.


Beliau berkata, negara memiliki potensi besar untuk mencapai matlamat itu melalui penggunaan teknologi moden, automasi, dan benih berkualiti tinggi.


“Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah dan Pengerusi. Saya fikir dalam tempoh 10 tahun kita sudah boleh melakukannya kerana kita ada 800,000 hektar tanah, 400,000 hektar perlu ditanam semula.


“Penanaman semula itu mesti menggunakan baka yang baik, kaedah automasi untuk penorehan, kaedah pengumpulan, dan memperbanyakkan depo untuk ‘latex’. Ini semua kita boleh lakukan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Lapangan RISDA 2025 di Bangi, Selangor, yang dihadiri kira-kira 1,000 pegawai lapangan dari seluruh negara, lapor Berita RTM.


Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut memaklumkan bahawa teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT) akan menjadi pemacu utama dalam meningkatkan produktiviti getah negara.


“Pengaplikasian teknologi canggih mampu membangunkan pekebun kecil dan mendedahkan produk mereka kepada pasaran global. IoT juga memberi ruang dan peluang yang lebih luas dalam memperkembang sektor getah negara,” jelasnya.


Beliau turut menekankan cadangan menjadikan RISDA sebagai pembeli tunggal getah pekebun kecil, yang akan dibentang sebagai langkah membela nasib pekebun kecil yang bergantung kepada harga lantai setiap tahun.

Comentários


bottom of page