Malaysia sedia depani pelbagai isu sebagai Pengerusi ASEAN
23 November 2024
PUTRAJAYA: Cabaran utama menanti Malaysia dalam kepengerusian ASEAN 2025 melibatkan pertelingkahan di Laut China Selatan dan krisis geopolitik di Myanmar, yang memerlukan pendekatan kolektif serta kesepaduan serantau.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha untuk menyelesaikan isu-isu ini memerlukan kekuatan bersama komuniti ASEAN agar ia dapat ditangani secara efektif.
"Krisis ini memerlukan usaha bersama dengan satu suara. Jika ASEAN berpecah, ia akan melemahkan kuasa ekonomi serantau yang sedang bangkit selepas pandemik COVID-19," katanya semasa sesi dialog bertajuk "Halatuju dan Strategi Kepengerusian ASEAN - Malaysia 2025" pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini malam tadi.
Beliau turut menegaskan bahawa terdapat tanda-tanda perpecahan dalam kalangan negara anggota ASEAN, terutamanya apabila membincangkan isu geopolitik Myanmar.
"Oleh itu, kesepaduan antara semua negara anggota amat diperlukan bagi memastikan kepentingan rantau ini terus terpelihara," tambahnya.
Dialog tersebut turut menampilkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai moderator, yang bersama peserta forum membincangkan strategi dan persediaan Malaysia untuk memimpin ASEAN pada tahun 2025.
Comments