top of page

MALAYSIA TERBUKA, BEBAS BERI PANDANGAN TERHADAP NEGARA LAIN - KAMARUDIN

  • nabalunews
  • Dec 1, 2020
  • 2 min read

1 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai kebebasan dalam memberi pandangan dan ulasan terhadap mana-mana negara lain, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata Malaysia mempunyai dasar yang bebas tanpa dipengaruhi mana-mana negara kuasa besar dan atas pendirian itu, jika ada tindakan oleh mana-mana negara yang tidak memuaskan, Malaysia terbuka untuk memberikan pandangan.

“Hubungan kita dengan negara Amerika Syarikat adalah hubungan dua hala antara dua negara yang bebas dan merdeka. Amerika Syarikat mempunyai dasar dan tindakannya. Kita mempunyai dasar kita yang bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana negara kuasa besar atau tidak.

“Oleh itu, atas pendirian tersebut kalau ada tindakan oleh mana-mana negara yang kita tidak berpuas hati kita mungkin memberikan pandangan dan ulasan kita,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) ketika membahaskan Belanjawan 2021 Kementerian Luar menegaskan Malaysia mesti mempunyai pendirian yang tegas berhubung isu keselamatan pelbagai hala.

“Suka saya tegaskan supaya pendirian negara kita ini mesti pendirian yang tegas dan kita tidak berganjak dan tidak tunduk kepada gesaan dari negara lain terutama isu yang menyentuh Kashmir, Palestin dan Rohingya,” kata Nik Muhammad Zawawi.

Menyentuh isu Palestin, Kamarudin berkata pendirian Malaysia tidak berubah, sama seperti yang pernah dinyatakan dalam pelbagai forum antarabangsa dan dalam negara sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai isu rakyat Malaysia yang didakwa menjadi gelandangan di Singapura, beliau berkata jumlah sebenar mereka yang terlibat adalah sebilangan kecil sahaja dan kementerian bersedia untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

“Kami ada peraturan perjalanan yang bebas kepada mereka. Jika ada masalah boleh rujuk mungkin ada prosedur yang jelas yang tidak diketahui. Kementerian akan bantu mereka,” katanya.


Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Luar kemudiannya diluluskan dengan undian suara terbanyak selepas dibahas lapan Ahli Parlimen, masing-masing empat dari blok penyokong kerajaan dan pembangkang. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page