top of page
nabalunews

Malaysia terima tugas pengerusi ASEAN 2025, PM Anwar jamin era baru yang inklusif dan mampan


12 Oktober 2024


VIENTIANE: Malaysia secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2025 daripada Laos dalam satu upacara simbolik yang diadakan di ibu negara Laos semalam.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan bahawa tahun 2025 bakal menjadi era penting bagi ASEAN, dipenuhi makna dan potensi besar bagi blok serantau ini.


Dalam ucaptamanya, Anwar menyatakan keyakinan bahawa tema Keterangkuman dan Kemampanan yang dipilih untuk ASEAN 2025 mencerminkan harapan bahawa langkah-langkah yang diambil pada masa ini akan memberikan kesan jangka panjang kepada rantau ini.


“Ia mempamerkan harapan kita bahawa langkah diambil hari ini, akan bertahan lama dalam jangka panjang.


“Ia juga menggariskan keazaman untuk memastikan masa depan yang kukuh sepanjang kita bergerak ke hadapan. Pada setiap masa, tindakan dan keputusan kita akan berpandukan kepada prinsip muafakat.” Katanya.


Beliau turut menyeru semua negara anggota ASEAN untuk memberi komitmen bagi membina rantau yang terbuka, inklusif, dan berasaskan peraturan.


Pada majlis tersebut, Malaysia buat kali pertama memperkenalkan logo ASEAN Malaysia 2025, yang menampilkan elemen Bunga Kebangsaan sebagai simbol utama. Logo ini menggambarkan lambang ASEAN yang dikelilingi oleh corak bunga raya, dengan warna-warna bendera negara anggota ASEAN.


Majlis pelancaran rasmi logo ini dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober di Malaysia. Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang tugas sebagai Pengerusi ASEAN, dengan kali terakhir negara menjadi pengerusi pada tahun 2015.

Comments


bottom of page