top of page
nabalunews

Malaysia yakin capai sasaran eksport kayu RM28 bilion menjelang 2025



26 November 2024

 

KUALA LUMPUR: Industri kayu negara dijangka terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yakin mampu mencapai sasaran nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM28 bilion menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2030. 

 

Timbalan Menteri KPK, Datuk Chan Foong Hin, berkata keyakinan itu disokong oleh pelbagai inisiatif strategik, permintaan global yang meningkat, serta kerjasama erat antara kementerian dan pemain industri. 

 

"Setakat ini pada 2024, eksport kayu telah menunjukkan pertumbuhan positif, meningkat 8.9 peratus kepada RM15.2 bilion bagi Januari hingga Ogos, berbanding RM14.01 bilion dalam tempoh yang sama pada 2023," katanya selepas pelancaran Ekspo Kayu Malaysia (MWE) 2025 di sini pada Isnin. 

 

Tambah beliau, perabot kayu terus menjadi produk eksport terbesar dalam sektor perkayuan, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran kayu global.

 

"Secara asasnya, ini menunjukkan produk-produk kayu Malaysia mempunyai banyak potensi untuk terus berkembang," ujarnya. 

 

Ekspo Kayu Malaysia 2025, yang dianjurkan oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), akan berlangsung dari 10 hingga 12 November 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. 

 

Mengulas mengenai sasaran jualan MWE 2025, Chan berkata ia diunjurkan antara RM150 juta hingga RM200 juta.

 

"Edisi-edisi terdahulu mencatatkan jualan mengagumkan, RM125.03 juta pada 2019 dan RM195.75 juta pada 2023. Kami menjangkakan pertumbuhan dua angka bagi jualan kali ini," katanya lagi. 

 

Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Chan, menyatakan bahawa MWE 2025 bakal menjadi platform utama mempamerkan ketukangan dan kualiti kayu Malaysia di peringkat antarabangsa. 

 

"Menganjurkan ekspo pada 2025 juga bersesuaian dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, memberi peluang untuk menghubungkan perniagaan kayu di rantau ini dan memupuk inovasi serta kerjasama," katanya. 

 

 

Comments


bottom of page