top of page
nabalunews

Manfaatkan tempoh sebelum PRN17 Sabah untuk laksanakan pelbagai program untuk rakyat - Hajiji

15 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata baki masa yang ada pada kerajaan sekarang wajar dimanfaatkan bagi memberi khidmat dan melaksanakan pelbagai program dirancang untuk rakyat Sabah.


Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) hanya akan diadakan apabila waktunya sudah tiba berbuat demikian, kata Hajiji.


Katanya, memandangkan tempoh pentadbiran kerajaan negeri yang ada sekarang berakhir Oktober 2025, tidak menghairankan maka rakyat sudah bercerita mengenai PRN17.


"Pilihan raya Sabah hanya akan kita adakan apabila waktunya tiba, sama ada kerajaan yang ada sekarang sampai penghujung tempoh atau sebelum itu.


"Tetapi apa yang penting bagi kerajaan, kita laksanakan tanggungjawab diamanahkan kerana masih ada yang perlu dilakukan untuk rakyat dan negeri ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika diwawancara pada Program Naratif Khas yang disiarkan secara langsung di TV1, pada 14 Oktober.


Program itu dikendalikan pengacara, Ismail Adnan.


Hajiji berkata baki masa yang ada pada kerajaan sekarang wajar dimanfaatkan bagi memberi khidmat dan melaksanakan pelbagai program dirancang untuk rakyat Sabah.


"Justeru, bila pilihan raya negeri itu dilangsungkan, biarlah kerajaan atau saya sebagai ketua kerajaan memikirkan tarikh sesuai diadakan," katanya.


Hajiji berkata apabila tiba masa, kerajaan akan serah kuasa untuk rakyat memilih pemerintah yang mereka fikir dapat meneruskan pembangunan dan mengubah kehidupan mereka di negeri ini.


"Dalam politik, ada yang masih mengharapkan kita, ada juga yang mengharapkan orang lain, namun semua itu akan ditentukan rakyat kelak," katanya.


Hajiji berkata jika ingin maju Sabah perlukan kestabilan politik kerana ia dapat mewujudkan suasana baik, harmoni dan memudahkan untuk melaksanakan perancangan bagi membangunkan negeri.


Katanya, kerajaan akan meneruskan perancangan Sabah Maju Jaya 2.0 untuk tempoh lima tahun lagi, jika terus diberikan mandat oleh rakyat pada PRN akan datang.


"Banyak perancangan sudah kita fikiran untuk Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang, jika kerajaan negeri terus mendapat mandat kembali berkuasa," katanya.

Comments


bottom of page