top of page
nabalunews

Mangsa angin kencang Kg Sayap terima bantuan



8 Januari 2025


KOTA BELUD: Penduduk Kampung Sayap, Kota Belud, yang terjejas akibat angin kencang baru-baru ini menerima bantuan bahan binaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Penyerahan sumbangan tersebut diwakili oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, kepada Taising Bulang sebagai wakil penerima untuk mangsa yang terlibat.


Ketika ditemui oleh Nabalu News, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sayap, Aming Gomburus, mengesahkan sebanyak lapan buah rumah mengalami kerosakan serius, termasuk atap bangunan gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kampung Sayap, yang turut terjejas akibat bencana tersebut.


Menurut Saikom, kejadian angin kencang berlaku pada 23 dan 25 Oktober tahun lalu, menyebabkan kerosakan besar kepada struktur atap rumah penduduk. Lawatan susulan telah dibuat oleh pihaknya pada 5 November untuk meninjau kerosakan dan menilai keperluan bantuan.


Bagaimanapun, Saikom mengakui terdapat sedikit kelewatan dalam penyampaian bantuan kerana kekurangan stok bahan binaan seperti zink dan papan lapis pada hujung tahun lalu. Namun, beliau menegaskan bahawa usaha membekalkan bantuan tetap diteruskan untuk memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi.


"Kami memahami kesulitan yang dihadapi oleh penduduk dan berharap sumbangan ini dapat membantu mereka membina semula rumah serta tempat ibadah yang rosak," tambah Saikom.


Dalam pada itu, Aming Gomburus mewakili penduduk yang terjejas meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Ewon atas keprihatinan yang ditunjukkan melalui sumbangan ini.


"Kami amat bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh Ewon dan pasukannya. Ini membuktikan kepimpinan beliau sangat prihatin terhadap kebajikan masyarakat," ujar Aming.

Comments


bottom of page