top of page
  • nabalunews

Mangsa gangguan seksual harus berani buat laporan - Nancy


3 Oktober 2024


SUNGAI PETANI: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menggesa mangsa gangguan seksual agar lebih berani tampil membuat laporan menerusi saluran undang-undang yang disediakan oleh kerajaan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pelaku.


Menurut beliau, ramai mangsa masih takut atau enggan melaporkan kejadian, sekali gus menyukarkan tindakan undang-undang dilaksanakan.


Setakat Ogos tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menerima sebanyak 442 laporan gangguan seksual, namun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana ramai mangsa yang belum tampil.


Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan kes gangguan seksual dari 422 kes pada 2022 kepada 460 kes pada 2023.


“Bagi mereka yang terancam atau pernah mengalami gangguan seksual, mereka harus menggunakan saluran undang-undang yang disediakan. Jika tidak mahu melaporkan kepada polis untuk tindakan jenayah, mereka boleh memilih tindakan sivil melalui Tribunal Anti Gangguan Seksual (TAGS),” kata Nancy selepas merasmikan penutup Program Bitara INTAN: Seminar Antigangguan Seksual di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara di sini.


Lebih 700 penjawat awam dari Kedah, Perak, Pulau Pinang, dan Perlis hadir ke program tersebut, yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai gangguan seksual dalam kalangan penjawat awam.


Program itu turut memberi penerangan terperinci mengenai Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) dan TAGS sebagai saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah, dan kos minimum.


Turut hadir, Timbalan Pengarah INTAN, Rusli Harun, dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff.

Commentaires


bottom of page