Mangsa Kebakaran Mohon Lanjutan PPS
nabalunews

6 Mac 2025
KOTA KINABALU: “Kami belum bersedia dan langsung tidak mempunyai tempat untuk berpindah”
Demikian rintihan salah seorang mangsa kebakaran Kampung Cempaka, Likas, di sini, yang buntu dengan nasib keluarga apabila diminta keluar dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang akan ditutup esok.
Mohd Sahari Mora, 30, berkata, dia dan isteri serta seorang anak yang masih berusia 2 tahun sehingga kini masih tinggal PPS Likas, sejak kejadian 28 Februari lalu.

Katanya, sekiranya permohonan mereka tidak dapat diterima maka dia tiada pilihan untuk kembali ke tapak rumah kebakaran dan menggunakan serpihan papan dan atap yang ada untuk berteduh.
“Kami tahu pusat penempatan ini akan ditutup tetapi saya merayu agar diberikan sedikit lagi masa untuk mencari tempat tinggal baharu.
“Bukan saya saja, ramai lagi mangsa kebakaran turut mengalami nasib sama,” katanya ketika ditemui di PPS, Dewan Serbaguna Likas, hari ini.

Menurutnya, beberapa lagi keluarga mangsa kebakaran turut mengambil keputusan sama untuk tinggal di tapak kebakaran.
Seorang lagi mangsa kebakaran, Noranisah Abdul, 35, berkata, mereka sekeluarga masih tidak mempunyai tempat untuk berpindah.
Katanya, mereka tidak mampu untuk menyewa rumah selain terpaksa membeli kelengkapan baharu kerana semuanya musnah dalam kejadian kebakaran.
“Kami berharap agar diberikan peluang dan masa sebelum diarahkan pindah dari sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat berkata, beliau menerima banyak rayuan daripada mangsa-mangsa kebakaran yang meminta untuk dilanjutkam tempoh penempatan berkenaan.
Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud dan akan dibawa kepada pihak berwajib untuk dipertimbangkan.
"Saya telah menghubungi Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud dimana beliau akan membawa perkara tersebut ke pengetahuan Kerajaan negeri dalam masa terdekat.
"Kita faham dengan keadaan musim puasa dan kedatangan hari raya akan datang, mungkin mangsa terjejas ini agak sukar untuk mencari penempatan sendiri dalam tempoh yang singkat, justeru perkara ini akan dibawa ke pengetahuan Kerajaan negeri," katanya.
Ahsim berkata, pihaknya mengambil berat isu berkenaan dan yakin Ahli Parlimen Sepanggar dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan mangsa terjejas kebakaran mendapat perhatian dari pihak berkenaan.
"Saya ingin nyatakan bahawa perkara ini ada meritnya dan kita berharap agar permohonan ini dapat diambil perhatian kerana ia adalah sangat mendesak," katanya.
Comments