top of page
  • nabalunews

Mantan Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu kembali ke pangkuan parti

4 September 2024


KOTA MARUDU: Aura kepimpinan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick yang sentiasa konsisten dan cemerlang dalam menerajui halatuju parti, adalah faktor utama yang mendorong mantan Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Padis Majingkin dan isterinya untuk kembali ke pangkuan parti tanpa syarat.


Padis yang juga mantan Ahli Majlis Tertinggi UPKO berkata beliau bersama isterinya mengambil keputusan tulus dan ikhlas untuk kembali bersama-sama memartabatkan UPKO di Kota Marudu.


Beliau berbangga dan terharu melihat kerjasama padu antara ahli-ahli jawatankuasa bahagian serta sokongan mereka kepada Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu ketika ini.


Menurut Padis, walaupun beliau tidak terlibat dalam parti untuk suatu tempoh, kini semakin ramai yang telah menyertai UPKO.


"Saya berbangga dan terasa terharu melihat kerjasama padu antara Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan sokongan mereka kepada Ketua Bahagian sekarang.


"Sepanjang ketiadaan saya dalam parti, semakin ramai yang menyertai UPKO," katanya.


Padis berkata demikian di satu majlis ringkas yang telah diadakan di pejabat UPKO Kota Marudu hari ini.


Majlis ini untuk menyerahkan kad keahlian UPKO kepada Padis yang telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu pada penghujung 2021.


Majlis ini dihadiri oleh Setiausaha Bahagian UPKO Kota Marudu, Jomius Bisara yang mewakili Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Jamil Majingkin.


Turut hadir dalam majlis ini ialah Naib Ketua Bahagian 1, Reggy Walter, dan Setiausaha Penganjur UPKO Kota Marudu, James Jibi.


Dengan penyerahan kad keahlian UPKO kepada Padis hari ini, beliau yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian UPKO pada penghujung 2021, kini secara rasminya kembali menyertai parti bersama isterinya.


Sementara itu Jamil ketika dihubungi berterima kasih atas keputusan Padis dan isterinya untuk kembali berjuang bersama dalam UPKO.


Jamil berkata penyertaan semula Padis menunjukkan kepercayaan yang tinggi terhadap pucuk kepimpinan parti yang diterajui Ewon.


"Saya juga berkeyakinan bahawa sokongan dan penyatuan semula ini akan menjadi titik permulaan peningkatan sokongan kepada parti UPKO di Kota Marudu," katanya.

Σχόλια


bottom of page