top of page
nabalunews

Mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dilantik Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Peladang Kebangsaan

7 November 2024


KUALA LUMPUR: Tan Sri Zainal Rahim Seman, mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) hari ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).


Watikah pelantikan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu majlis ringkas di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur.


LPP dalam satu kenyataan berkata Mohamad turut menyampaikan watikah lantikan kepada tiga orang lagi bagi mengganggotai majlis penasihat NAFAS dan lima orang pentadbir.


Mohamad berkata, beliau yakin dengan pengalaman luas Zainal sebagai mantan KPPA dan juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, akan mampu membantu LPP untuk melakukan reformasi dan tata kelola di NAFAS.


“NAFAS akan terus beroperasi seperti biasa. Semua urusan perniagaan, perkhidmatan dan kakitangan NAFAS kini adalah di bawah arahan Pentadbir dengan dikawalselia oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang," katanya.


Sebelum ini, Ketua Pengarah LPP, AmirMatamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) telah membuat satu perintah penggantungan NAFAS berkuatkuasa pada 1 November 2024.


Semasa tempoh penggantungan dikuatkuasakan, NAFAS akan diurus oleh Pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang.


Majlis Penasihat NAFAS akan berfungsi untuk menasihati pendaftar dalam membuat keputusan sekiranya wujud perkara-perkara yang dirujuk oleh pentabdir kepada pendaftar berhubung operasi harian di NAFAS bagi memastikan fungsi NAFAS berjalan dengan cekap tanpa gangguan dari segi operasi perniagaan dan perkhidmatan.


"Adalah menjadi harapan agar segala pemulihan NAFAS dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur demi kepentingan 605,552 ahli peladang di seluruh negara," katanya.

Comments


bottom of page