top of page
nabalunews

Maritim Malaysia rancang peroleh radar baharu guna teknologi AI





 26 November 2024

 

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus proaktif meningkatkan pengawasan perairan negara dengan rancangan memperoleh radar baharu yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI).

 

Radar tersebut akan ditempatkan di kawasan strategik seperti perairan Sarawak dan pantai timur Semenanjung, bertujuan memperluaskan liputan serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan. 

 

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata radar baharu itu akan disepadukan dengan sistem Malaysia Coast Guard Maritime Domain Awareness (MCGMDA).

 

"Radar baharu ini akan disepadukan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) di bawah sistem MCGMDA yang mampu menganalisis data dengan lebih komprehensif dan responsif," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 

 

"Gabungan teknologi ini diyakini dapat memperkukuh keselamatan serta memastikan keberkesanan penguatkuasaan di perairan Malaysia," tambahnya. 

 

Mohd Rosli turut menyatakan bahawa usaha ini memerlukan sokongan penuh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan pelaksanaan teknologi baharu dapat dilaksanakan secara efektif.

 

"Penerapan teknologi AI bukan sahaja relevan tetapi juga menjadi keperluan strategik untuk menghadapi cabaran keselamatan maritim pada masa hadapan," ujarnya. 

 

Tambah beliau, penggunaan AI turut membantu mengoptimumkan sumber manusia dan aset sedia ada, serta memastikan kawalan yang lebih efisien di perairan negara. 

 

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyambut baik saranan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menggesa jabatan dan agensi di bawah kementerian tersebut memanfaatkan AI untuk meningkatkan mutu perkhidmatan. 

 

"Penggunaan dron atau bot autonomi yang dikawal melalui teknologi AI misalnya, dilihat mampu menjalankan rondaan automatik di kawasan yang luas, mengesan aktiviti mencurigakan dan menganalisis data masa nyata untuk tindakan pantas," jelas Mohd Rosli. 

 

 

Opmerkingen


bottom of page