Maritim Malaysia Zon Tawau rampas 170 kotak lobak merah tanpa pengisytiharan
8 January 2025
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 170 kotak lobak merah seberat 1, 190 kilogram (kg) tanpa pengisytiharan dianggarkan bernilai RM3, 400 di perairan Sungai Melayu kira-kira jam 11.10 pagi, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, rampasan dibuat bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin Op Pluto Timur dan Op Tiris selepas berjaya menahan sebuah bot kargo tempatan.
Menurutnya, bot kargo tersebut dikesan sedang bergerak laju keluar perairan Batu 3 menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia sebelum berjaya ditahan pada kedudukan 0.8 batu nautika utara Sungai Melayu.
Katanya, semasa pemeriksaan dokumentasi, pihaknya mendapati bot itu dikendalikan oleh seorang juragan lelaki warga tempatan berumur 24 tahun dan gagal mengemukakan dokumen pengisytiharaan kastam berkaitan barangan yang dibawa dan tiada daftar nama di dalam lesen bot.
“Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM46, 000,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, kes itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
Mengulas lanjut, Shahrizan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlakunya cubaan penyeludupan barangan tersebut ke negara jiran untuk pasaran luar dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi pengusaha barangan runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, penguatkuasaaan akan terus diperkasakan bagi membanteras sebarang aktiviti melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau.
Tegasnya, Maritim Malaysia memandang serius segala aktiviti jenayah rentas sempadan dan aset-aset ronda sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai, khususnya komuniti maritim menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999.
Comments