Martin Stano dari Slovakia pengendali baharu Sabah FC
11 Disember 2024
KOTA KINABALU: Teka teki mengenai pengganti Datuk Ong Kim Swee sebagai Ketua Jurulatih pasukan bolasepak Sabah FC, akhirnya terjawab apabila Martin Stano yang berasal dari Slovakia diumumkan sebagai Ketua Jurulatih baharu bagi menggantikan Kim Swee yang memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya.
Stano, 47 sudah tidak asing bagi pemain Sabah FC kerana dia sudah bersama skuad The Rhinos sebagai Jurulatih Kecergasan sejak kira-kira dua tahun lalu.
Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid, berkata pelantikan Stano yang sebelum ini Jurulatih Kecergasan pasukan adalah bagi memenuhi syarat yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Katanya, MFL sebelum ini memberi tempoh sehingga 10 Disember untuk Sabah FC melantik Ketua Jurulatih baharu yang memiliki Lesen Pro dan Stano memenuhi syarat itu, lapor Info X.
Sehubungan itu katanya Stano dipilih mengetuai kejurulatihan sedia ada Sabah FC dengan dibantu Alto Linus yang sebelum ini dilantik sebagai pengendali sementara pasukan, sebagai Penolong Jurulatih.
Tugas Stano sebagai Jurulatih Kecergasan pula diambil alih Muhamadin Abdul Ajid yang sebelum ini diletakkan di bawah pasukan Sabah FC II, sehingga tamat musim 2024/2025.
“Pelantikan ini diambil daripada barisan kejurulatihan sedia ada bagi memastikan momentum kemenangan serta pendekatan pasukan seperti latihan, taktikal, metodologi dan analisis video dapat diteruskan dan tidak menjejaskan prestasi pasukan.
“Untuk makluman, MFL memberikan tempoh sehingga 10 Disember ini untuk Sabah FC melantik Ketua Jurulatih baharu yang memiliki Lesen Pro,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mohd Joh berharap gandingan kejurulatihan baharu Sabah FC itu dapat meneruskan kesinambungan keserasian pasukan seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini hingga ke akhir musim.
“Kami sentiasa mengharapkan sokongan berterusan penyokong Sabah FC untuk memastikan kejayaan pasukan memperbaiki kedudukan di carta liga dan terus mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia,” katanya.
Comments