Masidi Manjun dilantik pengerusi rundingan kerusi pilihan raya Sabah
5 November 2024
KOTA KINABALU: Datuk Seri Masidi Manjun telah dilantik sebagai pengerusi sebuah jawatankuasa yang akan memfokuskan kepada rundingan pembahagian kerusi bagi pilihan raya di Sabah.
Keputusan ini diumumkan oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan).
Menurut Hajiji, jawatankuasa ini akan membincangkan pengagihan kerusi wakil calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang dengan parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk parti yang mendukung kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) Plus.
“Jawatankuasa pengagihan kerusi ini ditubuhkan adalah untuk berbincang dengan parti-parti komponen dalam GRS termasuklah juga parti yang mendukung kerajaan sekarang ini iaitu PH-Plus,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Gagasan Rakyat Sabah di sini, pada Isnin.
Hajiji berkata, perbincangan pengagihan kerusi tersebut memfokuskan parti-parti komponen GRS terlebih dahulu, namun katanya, tidak menutup pintu kepada parti-parti lain yang menyokong kerajaan perpaduan.
“Kita fokuskan kepada perbincangan dengan rakan-rakan kita di dalam kerajaan. Tapi, ini tidak bermakna kita menutup pintu kepada parti-parti yang lain yang juga mendukung kerajaan perpaduan ini.
“Jadi, kita sentiasa terbuka dan boleh berbincang, yang penting ialah untuk kebaikan negeri kita,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai perbincangan mesyuarat itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, ia membincangkan kepada persiapan untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat yang dijadualkan pada 8 hingga 10 November ini.
Menurutnya, seramai 6,000 perwakilan dan pemerhati dijangka akan hadir pada persidangan itu.
Katanya, setakat ini, lebih 304,817 orang keahlian Gagasan Rakyat dan sebanyak 6,977 cawangan.
“Jadi, inilah parti yang kita gerakkan untuk memberi khidmat kepada rakyat, terutama sekali menjelang pilihan rayw akan datang ini. Ini kerana semua parti termasuklah parti yang saya pimpin ini dan juga parti-parti komponen GRS untuk mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya yang akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan Oktober tahun depan.
“Selain daripada membahaskan ucapan dasar Presiden, kita juga akan membahaskan usul mengenai ekonomi pendidikan.
“Jadi, kita telah juga menetapkan para perwakilan yang akan mengambil bahagian untuk membahaskan usul-usul yang akan diketengahkan di dalam persidangan ini,” jelasnya.
Comments