MASWINGS TUKAR WAJAH JADI AIRBORNEO
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_8aa8dd4df3304b8b982dcc3add0384da~mv2.jpg/v1/fill/w_965,h_619,al_c,q_85,enc_avif,quality_auto/d65831_8aa8dd4df3304b8b982dcc3add0384da~mv2.jpg)
12 Februari 2025
KUCHING: Pengambilalihan MASWings oleh syarikat penerbangan baharu Sarawak selesai dan kini berwajah baru dikenali sebagai AirBorneo.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pengambilalihan MASwings itu membabitkan keseluruhan operasi dan aset.
Katanya, ia juga membabitkan semua kakitangan MASWings termasuk operasi di Sabah yang akan turut dibawa ke dalam AirBorneo.
“AirBorneo bersedia untuk mewujudkan keseimbangan antara ketersambungan, tambang berpatutan dan faedah ekonomi.
“AirBorneo juga akan beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC) bagi meningkatkan pengalaman penumpang dengan ketara melalui perkhidmatan dalam penerbangan yang unggul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli MASwings antara kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) di sini, hari ini.
Perjanjian ditandatangani Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Datuk Kapten Izham Ismail, mewakili Pengarah Urusan Kumpulan MAG mewakili MAG.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bersama tiga Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Abang Johari berkata, pengambilalihan ini akan menyerlahkan prestij Sarawak sebagai destinasi pelancongan premium serantau.
Katanya, sebagai permulaan AirBorneo akan mengekalkan tumpuannya kepada perkhidmatan udara luar bandar (RAS).
“Ini adalah peristiwa penting dan bersejarah serta menandakan satu lagi kejayaan besar bagi Sarawak apabila memiliki syarikat penerbangan sendiri.
"Langkah strategik ini bukan hanya pemilikan syarikat penerbangan tetapi juga membuka potensi penuh Sarawak sebagai lokasi strategik menerusi peningkatan dan pengembangan rangkaian hubungan udara.
"Kerajaan Sarawak membuat keputusan berani melabur dalam memperoleh MASwings selari dengan komitmen untuk meningkatkan ketersambungan serantau dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi kita," katanya.
Menurutnya, langkah strategik ini juga meletakkan dan mengubah Sarawak sebagai hab penerbangan untuk Borneo dan pintu masuk ke ASEAN.
Comments