top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Masyarakat majmuk di negara ini perlu sensitif budaya orang Borneo: Madius


Datuk Wilfred Madius Tangau

7 November 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, masyarakat majmuk di negara ini seharusnya lebih sensitif terhadap budaya masyarakat Borneo termasuk penggunaan arak atau alkohol.


Beliau berkata, sensitiviti budaya Borneo penting memandangkan masyarakat bukan Islam di Borneo (Sabah dan Sarawak) mempunyai pendapat berbeza penggunaan arak.


“Kita boleh mencapai objektif apa yang kita bincangkan dalam pelbagai isu termasuk berkaitan arak tanpa menyinggung perasaan orang lain.


“Sebagai orang Borneo tindakan pihak berkenaan menyamakan arak sebagai ‘kencing’ amat menyinggung perasaan kita kerana selama ini arak adalah sebahagian daripada budaya masyarakat bukan Islam di Sabah dan Sarawak, khususnya Kadazandusun.


“Adakah ini perlu diubah kerana ia bertentangan dengan penganut agama Islam di negara ini,” katanya dalam webinar ‘Arak dan Sensitiviti Borneo, semalam.


Arak wiski berjenama ‘Timah’ keluaran Malaysia yang memenangi beberapa anugerah peringkat antarabangsa menjadi kontrovesi baru-baru ini sehingga ada yang menyatakan kerajaan perlu menyekat penggunaan nama Timah serta imej lelaki berkopiah berikutan ia tidak sesuai digunakan dan boleh mengelirukan umat Islam.


Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, kontroversi bantahan jenama Timah pada mulanya tidak menimbulkan masalah tetapi ia kemudiannya menjadi ‘panas’ apabila dikatakan sebagai ‘kencing’.


“Kita di Borneo merasa sensitif tentang perkara ini kerana minuman arak adalah antara warisan budaya masyarakat Kadazandusun di Borneo (Sabah).


“Contohnya, semasa Pesta Kaamatan dan selepas penduduk kampung bergotong-royong atau ‘mitabang’ masyarakat minum arak, bukan niat untuk bermabuk-mabukan tetapi sebagai ruang kita berinteraksi dan mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.


“Begitu juga apabila berlaku perbelahan antara individu, mereka ‘mibabas’ (berdamai) dengan menggunakan tapai (minum arak).


“Selama ini kita tiada masalah dalam hal ini tetapi apabila ia disamakan dengan perkataan yang tidak baik maka kita merasa sensitif, kerana ini warisan budaya kita dan kita tidak memaksa masyarakat lain untuk meminumnya," kata Madius.


Beliau berkata, selama ini minuman itu digunakan sebagai medium persaudaraan dan mengeratkan silaturahim antara saudara mara dan rakan-rakan sekampung.


"Di Sabah, masyarakat bukan Islam yang beragama Kristian (SDA) tidak membenarkan penganutnya minum arak, tetapi selama ini kita tidak ada masalah dengan mereka," katanya.


Madius turut menyokong pendapat Prof Dr.Jayum yang menyatakan masyarakat majmuk di negara ini perlu memahami dan mengenali budaya masyarakat lain dan menghormatinya.


“Kita harus memahami kaum lain di negara ini. Contohnya bagi masyarakat Melayu di Semenanjung nama Timah beragama Islam tetapi bagi kami di Sabah, nama tidak melambangkan agama.


“ini kerana ada orang yang bernama Timah tapi dia beragama Kristian, ada juga yang namanya Arifin dan Abidin, tapi mereka bukan Islam.


“Sebab itu amat penting untuk kita mempromosikan budaya berbilang kaum di negara ini dan mengurangkan atau menghentikan isu-isu perkauman atau keagamaan yang sering diperalatkan untuk mendapatkan sokongan politik,” katanya.




Comments


bottom of page