MAT UPKO Kota Belud dan Rumah Terbuka Raya-Kaamatan Kadamaian akan diadakan, 16 Mei
25 April 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Mesyuarat Agung Tritahunan (MAT) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud dan sambutan Rumah Terbuka Raya-Kaamatan Adun Kadamaian akan diadakan serentak pada 16 Mei ini, di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian yang juga Ketua Bahagian Upko Kota Belud Datuk Ewon Benedick berkata, MAT UPKO Kota Belud akan bermula pada jam 8 pagi, manakala acara Rumah Terbuka Raya-Kaamatan jam 1 petang pada hari dan tempat yang sama.
“Antara program lain yang disusun pada hari berkenaan ialah, Kempen Derma Darah anjuran UPKO dengan kerjasama Kelab Kebajikan Kadamaian dan Hospital Kota Belud bagi membantu mengisi Tabung Darah Hospital.
“Orang ramai yang berhasrat untuk menderma darah dialu-alukan hadir pada sebelah pagi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa UPKO Bahagian Kota Belud, di Pusat Khidmat Adun Kadamaian, di sini, hari ini.
Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Kota Belud akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin dan dihadiri para pemimpin parti.
Ewon turut menjemput para pemimpin lain termasuk Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis serta mantan-mantan ketua-ketua adat dan pengerusi-pengerusi MPKK menghadiri sambutan Raya-Kaamatan pada hari berkenaan.
“Sambutan Raya-Kaamatan adalah perayaan untuk mengukuhkan perpaduan semua bangsa dan agama tanpa mengira fahaman politik. Oleh itu saya menjemput para pemimpin dari parti-parti lain termasuk parti mewakili kerajaan menghadiri Raya-Kaamatan Kadamaian,” katanya.
Bagi memeriahkan sambutan Raya-Kaamatan, pelbagai acara menarik telah disusun, antaranya persembahan kebudayaan.
Comentários