Maximiliana, dari suri rumah kini bergelar usahawan

26 Okt 2021
Oleh Marryan Razan
Sepuluh tahun yang lalu, seorang suri rumah sepenuh masa Maximiliana Frederick dari Penampang, hanya duduk di rumah mengurus anak dan suami, kini sibuk mengurus perniagaannya sendiri.
Ibu kepada seorang anak itu memulakan perniagaan di rumah secara kecil-kecilan dengan menjual jamu tradisional Kadazandusun atau minuman kesihatan dengan modal lebih kurang RM2,000 dan menjualnya kepada rakan-rakan dan ahli keluarga sahaja.
Daripada hanya menjual jamu homemade kini perniagaannya semakin berkembang dengan beberapa produk baharu dan packaging menarik dan cantik.
“Saya bersyukur kerana sejak 2012, Jus Cici Bella yang hanya bermula dengan satu jenis produk iaitu Jus Cici Bella Homemade, kini sudah bertambah kepada lima produk iaitu Sabun herba, Jus Cici Bella dan Jus Kolagen Asapow menggunakan khidmat pengilang Muslim bumiputera bertaraf GMP dan ketiga-tiga produk ini sudah mendapat sijil NOT KKM.

“Selain itu produk terbaru yang dibuat secara homemade ialah Jus Bawang Putih,” katanya ketika ditemui wartawan Nabalu News, baru-baru ini.
Maximiliana atau lebih mesra dipanggil Cici berkata, untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam keusahawanan dia mengikuti pelbagai kursus selain belajar sendiri melalui pembacaan buku-buku mengenai perniagaan.
“Antara cabaran yang saya hadapi dalam perniagaan selama ini ialah kurang keyakinan diri untuk mengambil langkah seterusnya.
“Saya tidak tahu dimana boleh mendapatkan latihan dan khidmat bimbingan yang lengkap di Sabah, dari segi ilmu pemasaran, pengendalian ejen, pentadbiran dan pengurusan pekerja serta akaun perniagaan, sebab saya bermula dari ‘zero’ dan tiada pengalaman serta pengetahuan dalam selok-belok perniagaan,” katanya.
Rahsia kejayaan
Maximiliana berkata, antara sebab kejayaan produk Jus Cici Bella bertahan sehingga kini kerana ia adalah amalan keluarga dan kawan-kawan rapat yang konsisten mengamalkan jamu ini, selain mempunyai pelanggan tetap.
Dari segi pemasaran, produk Jus Cici Bella dijual secara online, COD dan khidmat beberapa orang Ejen di seluruh Malaysia.
“Produk Jus Cici Bella dari dulu sehingga sekarang hanya dijual secara online dan COD tetapi masih bertahan kerana saya tidak pernah berputus asa walaupun kadang-kadang menghadapi cabaran dari segi penjualan.

“Oleh itu nasihat saya kepada para peniaga yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan terutamanya wanita atau suri rumah supaya sentiasa fokus menjual produk yang kita suka, percaya pada diri sendiri dan menggunakan dahulu produk itu untuk meningkatkan keyakinan pelanggan.
“Guna produk sendiri dan hanya jual sekiranya ia terbukti berkesan. Lagi baik sekiranya keluarga kita sama-sama menggunakan produk yang kita jual, seperti produk minuman kesihatan Jus Cici Bella, kami sekeluarga meminumnya,” katanya.
Bercerita mengenai idea menghasilkan produk Jus Cici Bella, Maximiliana yang mempunyai ‘anugerah’ dalam perubatan tradisional berkata, sejak kecil dia gemar ubat-ubat kampung atau herba tradisional berasaskan akar kayu dan tumbuh-tumbuhan.
“Saya juga membuat penyelidikan sendiri dengan membelanjakan ratusan ringgit hanya untuk membeli buku-buku mengenai herba tradisional.
“Melalui pembacaan kita dapat menambah pengetahuan sedia ada mengenai khasiat dan keistimewaan pelbagai jenis herba seperti kunyit, halia, lada merah, lada hitam, jintan, kayu manis, temulawak, asam jawa, buah markisa dan lemon untuk kesihatan.
“Saya manfaatkan sepenuhnya herba-herba itu untuk menghasilkan jamu atau minuman kesihatan yang kini dikenali sebagai ‘Jus Cici Bella’,” katanya.
Semasa pandemik Covid-19, banyak perniagaan terjejas, begitu juga dengan penjualan produk Jus Cici Bella yang menghadapi sedikit masalah dari segi penghantaran tempahan, namun pengeluaran produk itu tidak terhenti kerana sentiasa mendapat permintaan daripada pelanggan tetap.
“Oleh kerana Jus Cici Bella adalah amalan kaum keluarga, kawan-kawan dan pelanggan setia maka tiada istilah perniagaan harus dihentikan. Produk tetap dikeluarkan setiap masa untuk kegunaan kami sekeluarga,” katanya.
Perancangan akan datang
Jus Cici Bella kini berkembang maju dan mula menerima tempahan dari luar negara.
Maximiliana berharap, produk itu terus mendapat permintaan pelanggan tetap di luar negara sekaligus memperkenalkan produk tempatan Sabah berasaskan herba setanding dengan produk lain.
“Walaupun banyak saingan dengan produk-produk lain yang sudah lama berkembang, namun saya percaya produk kesihatan berasaskan herba tradisional lebih digemari dan dipercayai orang ramai,” katanya.
Comentários